ALOR SETAR - Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyambut baik kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dengan menyifatkannya sebagai langkah penting bagi mengekalkan kestabilan politik di negeri itu.
Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, formula Kerajaan Perpaduan yang terbukti membawa kestabilan di peringkat nasional diharapkan dapat diterjemahkan di peringkat Sabah.
Menurutnya, kerjasama antara BN dan PH telah berjaya mencipta kestabilan politik di peringkat Persekutuan, yang menjadi elemen utama dalam kestabilan membangunkan negara.
“Beberapa hari lalu, kepimpinan tertinggi BN dan PH telah mengeluarkan kenyataan bersama yang mengesahkan bahawa kerjasama ini akan diperkukuh di Sabah.
"Kerajaan Perpaduan telah memberikan kestabilan politik yang amat diperlukan, dan pendekatan ini perlu diterapkan di peringkat negeri,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.
Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata demikian selepas sesi Townhall TVET Pertanian di MADA Rice Training Centre (MRTC) di sini.
Beliau juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi isyarat untuk berunding bagi membawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ke dalam Kerajaan Perpaduan menjelang PRN Sabah.
“PM melawat Tawau baru-baru ini dan menyatakan usaha akan dilakukan untuk memastikan GRS turut serta dalam formula Kerajaan Perpaduan.
“Belum ada sebarang mesyuarat rasmi, tetapi kami bersedia untuk bekerjasama demi mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Sabah kerana kita memerlukan kestabilan politik,” ujarnya.
Pada Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan Perdana Menteri menegaskan bahawa kerjasama bagi menghadapi PRN Sabah melibatkan tiga gabungan utama PH, BN dan GRS.
Beliau yang juga Pengerusi PH menjelaskan bahawa perbincangan berhubung kerjasama itu sebelum ini dilakukan di peringkat Persekutuan, namun keputusan pelaksanaannya ditentukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH di peringkat negeri Sabah.