'Rafizi perlu tarik diri jika ikhlas mahu Nurul Izzah menang' - Ahmad Nazri

BESUT - Datuk Seri Rafizi Ramli sepatutnya menarik diri lebih awal daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR sekiranya benar-benar ikhlas mahu melihat kemenangan Nurul Izzah Anwar.

Pengerusi PKR Terengganu, Ahmad Nazri Mohd Yusof berkata, pertembungan dua tokoh besar dalam parti itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli dan perwakilan.

Menurutnya, kedua-dua mereka disayangi oleh akar umbi dan sebarang persaingan antara mereka hanya menambah ketegangan dalam parti.

"Kalau beliau (Rafizi) ikhlas mahu perwakilan pilih Izzah, beliau patut tarik diri. Tak perlu kecoh-kecoh dalam keadaan sekarang yang sudah pun tegang.

"Sebagai orang lama dalam parti, saya lihat kita perlukan pelapis baharu yang berkelayakan dan dekat dengan akar umbi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran dan Perpaduan Rakyat anjuran PKR Cabang Besut di Tanjung Demong Resort, di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata Nurul Izzah mempunyai potensi tinggi untuk menang berdasarkan pengalaman serta kebolehannya yang telah lama menabur bakti dalam parti.

Sebelum ini, Rafizi dilaporkan menyuarakan kebimbangan jika bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tewas dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR kerana baginya ia akan dijadikan isu untuk mempertikaikan kepimpinan Presiden PKR.

Perkara itu disuarakan ketika berucap dalam siri Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Rakyat (HIRUK) di Kedah pada Isnin.

Menteri Ekonomi itu berkata, meskipun secara rasmi beliau sedang mempertahankan jawatan tersebut, kekalahan Nurul Izzah boleh mencetuskan naratif atau polemik bahawa anggota parti menolak kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menegaskan bahawa kemenangan Nurul Izzah perlu dijamin demi memastikan kestabilan parti.