'Rafizi rumuskan pendapat setelah lama pendam' - Iswardy

SHAH ALAM - Kenyataan dan kritikan calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli bukan serangan semata-mata, sebaliknya ia peringatan serta rumusan yang terpendam sekian lama.

Bekas Setiausaha Koordinasi Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Iswardy Morni berkata, ia kerana sebelum ini Menteri Ekonomi itu tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan terbuka sejak kontroversi sistem pemilihan parti sehingga akhirnya segala permasalahan meletus.

Menurut beliau, Rafizi berkemungkinan enggan terlalu lantang menyuarakan pandangan sebelum ini kerana mahu menghormati proses pemilihan parti.

“Secara tersirat memang ia satu serangan dan terpulang kepada orang luar untuk menginterpretasikannya, tetapi bagi saya pula kenyataan tersebut hanyalah rumusan atau peringatan tentang apa yang berlaku. Walaupun parti dah kata sistem pemilihan diaudit dan sebagainya, tetapi beliau tetap rasa sistem masih ada masalah.

“Meskipun tak boleh dibuktikan melalui audit, permasalahan yang berlaku boleh dilihat secara paten. Kalau satu atau dua anomali (kepala kalah, badan menang) sepertimana didakwa Rafizi, okey sahaja, Tetapi ini berlaku dalam kuantiti terlalu banyak, malah beliau terbuka menegur Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa tentang bantahan yang tak didengar.

“Itu luahan Rafizi setelah sekian lama tidak bersuara, mungkin kerana selama ini beliau menghormati proses pemilihan parti kali ini,” katanya.

Ditanya lebih lanjut tentang label pak turut dan tukang ampu, Iswardy berpandangan, mana-mana parti tidak terlepas daripada golongan sebegitu.

Menyifatkan ia bukan perkara aneh dalam arena politik, Iswardy berpendapat bahawa hakikatnya sikap sedemikian semakin jelas sejak PKR menjadi parti pemerintah.

“Disebabkan PKR sudah jadi parti pemerintah, kita dapati ada dua fenomena semasa iaitu orang berbondong-bondong sertai PKR dan ambil kesempatan.

“Satu lagi golongan yang sebelum ini tak pernah menonjol tak tahu datang dari mana, tetapi tiba-tiba tampil ke depan,” katanya.