KOTA KINABALU - Aktivis politik negeri ini melihat pertembungan kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) amat sukar dielakkan, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada dasarnya bersetuju agar dua gabungan tersebut bersama Pakatan Harapan (PH) bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Pandangan itu dilontarkan oleh Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar yang melihat masih wujud kesan luka pengkhianatan UMNO terhadap GRS, yang akan menyukarkan rundingan kerjasama tersebut berjalan lancar.
“Kesan luka pengkhianatan oleh UMNO dan serangan berterusan terhadap GRS akan menyukarkan rundingan.
“Masalah akan lebih parah sekiranya Datuk Seri Bung Moktar Radin masih mengetuai UMNO Sabah, di mana keputusan konkrit pembahagian kerusi antara GRS dan BN akan sukar dicapai,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau lagi, asas penubuhan kerajaan Sabah hari ini terbina daripada dua gabungan parti iaitu GRS-PH, dan sudah tentu dari segi persefahaman, kedua-duanya tidak mempunyai masalah besar.
“Harus diingat, semasa rancangan kudeta yang digerakkan oleh Bung Moktar dan Mohd Shafie Apdal (Presiden Parti Warisan) pada tahun 2023, Pakatan Harapan (PH) telah tampil menyelamatkan kerajaan yang ada pada hari ini.
“Jika diukur dari segi jasa, tanpa PH sudah tentu GRS ketika ini akan duduk di kerusi pembangkang,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa selepas hampir dua tahun, kekuatan GRS telah meresap ke akar umbi.
“Hasil dapatan kajian oleh beberapa badan bebas dan penganalisis politik juga jelas menunjukkan gabungan parti yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ini telah menerima sokongan majoriti rakyat Sabah.
“Manakala, ironinya, BN khususnya UMNO sebenarnya semakin hilang sokongan.
“Justeru, walaupun jika pertembungan kerusi berlaku antara GRS dan BN, ia boleh dilihat hanyalah sebagai pertandingan persahabatan antara kedua-dua gabungan itu memandangkan di peringkat persekutuan, kedua-duanya berada dalam satu pasukan,” katanya.
Terdahulu, Anwar menegaskan bahawa kerjasama tersebut melibatkan PH, UMNO-BN dan GRS, di mana beberapa perbincangan sedang dijalankan dengan Hajiji supaya kesepakatan itu lebih meluas dan terbuka.