Pemilihan PKR: Anwar ingatkan jangan terlanjur kata

TAWAU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas kepada semua pimpinan, termasuk di Sabah, yang terlibat dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar menghormati proses tersebut.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, proses pemilihan itu harus dijalankan dengan penuh adab, etika dan semangat kesetiaan terhadap perjuangan parti.

“Persaingan ini antara rakan-rakan yang rekodnya baik, rakan-rakan yang setia kepada perjuangan reformasi, rakan-rakan yang cinta pada parti dan perjuangan.

“Oleh itu, saya ingin menasihatkan bukan sahaja kepada calon-calon, tetapi juga kepada hulubalang-hulubalang supaya tidak terlajak atau terlanjur kata,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi pertemuan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah di sini, pada Ahad.

Anwar turut menekankan bahawa semua calon yang bertanding adalah individu yang komited terhadap perjuangan parti, sama ada menang mahupun kalah.

“Ini adalah pertarungan yang penuh makna. Sama ada yang menang atau kalah, kita harus tetap bersatu. Jangan jadi seperti pengalaman lalu – yang menang setia, yang kalah khianat.

“Ini tidak berlaku dalam konteks sekarang kerana yang menang dan yang kalah itu cukup komited,” katanya.

Mengenai ketegangan yang mungkin timbul sepanjang proses pemilihan, Anwar mengingatkan agar ahli parti tidak menanam permusuhan.

“Jadi saya ingin tegaskan nasihat bahawa apapun, saya telah tekan supaya jangan kita keterlaluan. Anak-anak ini kadang-kadang lupa, yang kita nak pertahankan ini ialah dasar perjuangan. Yang kita nak pilih ini ialah parti yang boleh diamanahkan untuk meneruskan agenda perjuangan.

“Jadi, jangan kita tanam bibit-bibit permusuhan. Ada sedikit ketegangan, salah faham, marah itu biasa. Ini seperti mana hubungan dalam keluarga dan rakan-rakan setia, jadi bagi saya setakat itu,” katanya.