SEREMBAN - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan bahawa beliau tidak kisah kalah dalam pemilihan cabang yang lalu, namun tidak bersetuju dengan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan kekalahan itu disebabkan oleh kesilapan memilih 'geng'.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu turut menafikan dakwaan bahawa kumpulan yang dipilihnya merupakan kelompok yang menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ada yang kata saya silap pilih geng, masuk kumpulan lawan presiden sebab itu kalah. Saya pelik dengan dakwaan tersebut kerana yang membawa saya masuk ke dalam parti ialah Rafizi (Datuk Seri Rafizi Ramli). Masa itu umur saya baru 19 tahun, masih mahasiswa.
"Kemudian, saya bekerja untuk parti, membantu Kak Wan (Datuk Seri Wan Azizah Ismail), Nurul Izzah, dan beberapa sahabat lain sehingga bekerja sebagai setiausaha sulit kepada presiden parti.
"Pada 2008, dalam keadaan tidak cukup calon, kita masuk untuk bertanding PRU dan, disebabkan gelombang rakyat, ramai antara kami menang.
"Jadi bila ada yang kata kami semua lawan presiden, dakwaan itu tidak logik kerana ramai antara kami telah lama berada dalam parti berbanding mereka yang baru sekarang," katanya ketika berucap dalam program Jelajah Hiruk Zon Melaka dan Negeri Sembilan di Klana Grand Ballroom, di sini pada Ahad.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu turut berterima kasih kerana diberi peluang menjawat jawatan dalam Kabinet, yang mana beliau banyak belajar perkara baharu.
"Saya akui tidak mudah mengimbangi tugas dalam kerajaan selain menjaga zon kawasan, kerja dalam parti, dan tanggungjawab-tanggungjawab lain.
"Setiap hari saya bekerja dengan komitmen mahu melakukan yang terbaik supaya mempunyai rekod cemerlang untuk dibawa kepada rakyat dalam kempen PRU akan datang, bagi memastikan kita terus mentadbir kerajaan dan Anwar kekal sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua," ujarnya.
Justeru, Nik Nazmi berharap proses Pemilihan PKR 2025 yang akan berlangsung hujung bulan ini dijalankan secara adil dan telus serta mengingatkan ahli PKR supaya tidak takut untuk membuat keputusan yang tepat dan terbaik demi masa depan parti.
"Dalam pemilihan ini, kita sering tekankan supaya tiada perkara yang boleh mengganggu-gugat parti. Mahu bertanding tidak ada masalah, cuma kita mahu ia berlangsung dalam keadaan positif.
"Kita tidak mahu ada gerakan tertentu yang boleh menimbulkan perasaan kurang senang. Kita baru selesai pemilihan cabang, dan tiada masalah jika kalah.
"Namun, jika kita tidak dapat menguruskan pemilihan ini dengan baik dan membuktikan bahawa parti ini berbeza daripada yang lain, rakyat akan menghukum kita," katanya.