JOHOR BAHRU – Kenyataan beberapa pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berhubung tuntutan jumlah kerusi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) Johor disifatkan tidak wajar dan memualkan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, tuntutan tersebut dipercayai tidak mewakili pendirian rasmi Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat mahupun negeri yang mempunyai tanggungjawab serta kuasa untuk menentukan dasar dan strategi pilihan raya sebagai sebuah gabungan politik.
"Yang peliknya di Johor ini, hanya Amanah yang bising-bising macam tin kosong, seolah-olah mereka yang paling banyak kerusi, sedangkan rakan komponen mereka yang lain iaitu DAP dan PKR kekal tenang tanpa sebarang tuntutan merapu atau kenyataan melulu.
“Nampak jelas, yang paling berasa tidak selamat adalah Amanah, yang mungkin hanya diberi peluang bertanding satu kerusi sahaja di DUN Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kenyataan sedemikian juga tidak wajar dikeluarkan ketika negara, termasuk Johor, sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan perkembangan dasar perdagangan antarabangsa.
Pemuda UMNO Johor turut menasihati kepimpinan Amanah agar tidak bertindak melebihi batas.
“Ketika negeri ini sedang berusaha memperkukuh kedudukan ekonomi, kenyataan berbaur politik yang boleh menjejaskan kestabilan hanya akan mengundang musibah serta dilihat sebagai cubaan mensabotaj segala usaha baik kerajaan negeri.
“Jangan lebih sudu daripada kuah. Rundingan kerusi seharusnya dilakukan dalam kerangka gabungan parti antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), bukan secara individu oleh setiap parti.
“Ukurlah baju di badan sendiri. Amanah Johor hanya memenangi satu kerusi DUN sebelum ini. Jangan kelihatan terlalu gelojoh dan rakus mengejar kuasa,” tegasnya.