Pemilihan PKR: Pencalonan Nurul Izzah dapat sokongan Azalina

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sokongan itu dizahirkan menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau pada Isnin.

Menurutnya, pencalonan anak sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilihat sebagai titik permulaan kepada penglibatan lebih ramai wanita dalam politik arus perdana.

"Tahniah atas pencalonan Timbalan Presiden. Semoga ini jadi titik permulaan untuk lebih ramai wanita menyertai politik arus perdana. You go, girl!," katanya.

Terdahulu, Azalina turut merakamkan penghargaan kepada Nurul Izzah atas komitmennya dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza.

Katanya, perjuangan membela penduduk Gaza bukan sekadar isu agama, politik atau sempadan negara, sebaliknya merupakan perjuangan kemanusiaan sejagat.

“Kita teruskan komitmen ini demi dunia yang lebih adil dan berperikemanusiaan. Malaysia sememangnya sesuai untuk memainkan peranan ini kerana kita telah membuktikan bahawa kita mampu bersatu sebagai satu suara walaupun datang daripada latar belakang yang pelbagai,” katanya.