'Mahu lihat pemimpin dipilih menang, bukan 'tangan ghaib' tentukan siapa menang' - Rodziah

SEREMBAN – Calon Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rodziah Ismail, berharap agar pemilihan parti kali ini berlangsung secara adil tanpa campur tangan pihak tertentu atau 'tangan ghaib' yang cuba menentukan kemenangan mana-mana calon.

Rodziah berkata, ramai pihak tidak berpuas hati dengan perjalanan proses pemilihan, justeru beliau mencadangkan agar sistem sedia ada diperbaiki demi menjamin keadilan dan ketelusan.

“Ramai yang tidak berpuas hati dengan pemilihan kali ini. Saya sendiri antara yang ‘kepala dipotong’ di Shah Alam.

“Saya harap sistem yang digunakan dapat diperbaiki agar Pemilihan Pusat benar-benar adil, iaitu untuk melihat siapa yang benar-benar dipilih sebagai pemimpin — bukan ditentukan oleh ‘tangan ghaib’,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Hiruk Zon Melaka dan Negeri Sembilan di Klana Grand Ballroom, di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Ampang itu juga menegaskan bahawa beliau menerima apa sahaja keputusan yang bakal diumumkan, namun menyeru agar anggota parti tidak berputus asa dalam mempertahankan perjuangan reformasi.

“Saya menyertai PKR dengan niat mahu melihat parti ini membawa politik baharu dan bersih. Apabila saya keluar nanti, biarlah perjuangan itu yang terus dibawa, bukan sekadar diucapkan, tetapi menjadi pegangan bersama.

“Parti ini kita bina bersama. Jangan benarkan sesiapa — sama ada dari dalam atau luar — cuba merosakkannya,” tegas beliau.