KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran berharap pemilihan parti kali ini memberi peluang kepada perwakilan untuk memilih calon berdasarkan kepelbagaian, kepimpinan dan kebolehan, bukan semata-mata bersandarkan kedudukan dalam kerajaan.
Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, walaupun terdapat veteran termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Menteri Besar Selangor serta menteri dan timbalan menteri yang bertanding, proses pemilihan kali ini dilihat lebih demokratik.
“Sistem perwakilan kali ini membuka ruang kepada perwakilan untuk meneliti dan memilih calon paling sesuai bagi memegang jawatan Naib Presiden. Calon yang dipilih perlu mampu membawa suara akar umbi ke peringkat kepimpinan tertinggi demi membina parti yang lebih inklusif dan progresif,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Yuneswaran, hampir 30,000 perwakilan akan terlibat dalam proses pemilihan kali ini.
“Saya berharap mereka dapat memberi peluang kepada muka baharu untuk diangkat sebagai Naib Presiden.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu akan terus mengadakan jelajah ke seluruh negeri bagi menerangkan visi dan misi yang dibawanya.
Yuneswaran turut memuji usaha Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh dan pasukannya yang dilihat berjaya memberi pencerahan kepada perwakilan sekali gus membuka ruang calon untuk menyantuni pengundi parti secara langsung.
“Konsep ini mirip budaya kempen di Eropah dan Amerika Syarikat di mana semua calon turun padang bertemu akar umbi. Saya amat menghormati pendekatan ini,” ujarnya.
Selepas Kuala Terengganu, jelajah itu dijadualkan ke Johor pada Selasa, diikuti Pulau Pinang (Khamis), Selangor (Jumaat) serta Sabah dan Sarawak pada hujung minggu.
Beliau menyatakan komitmennya untuk memastikan kebersamaan yang utuh bagi menyatukan seluruh anggota parti agar bergerak seiring dalam satu haluan serta memperkukuhkan organisasi di semua peringkat untuk merealisasikan cita-cita besar parti dan membawa kemajuan negara.
Yuneswaran juga menegaskan perlunya meraikan kepelbagaian dalam Keadilan dengan menyatukan otai reformasi dan anggota baharu dari pelbagai kaum, wanita serta anak muda dari seluruh negara ke arah perjuangan yang inklusif dan progresif.
Selain itu, beliau berazam melahirkan generasi kepimpinan baharu yang berteraskan politik nilai dengan integriti, prinsip dan keberanian untuk membawa obor reformasi serta memimpin masa depan parti.