SEREMBAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berada dalam fasa ujian kuasa selepas berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ketika ini ramai yang berpusu-pusu menyertai PKR untuk mengejar jawatan dan kuasa, sehingga wujud gerakan yang cuba menjatuhkan ‘orang lama’ yang telah lama berjuang bersama parti.
“Semasa kita susah, orang tidak mahu bersama. Itulah orang lama seperti saya, Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun), dan Nik Nazmi Nik Ahmad, kami sudah melalui proses ini.
“Tetapi selepas berkuasa pada 2022, berlaku lambakan anggota yang masuk, merebut jawatan dan kuasa, hingga ada gerakan tertentu cuba menjatuhkan orang lama untuk memenangkan pemimpin tertentu,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Hiruk Zon Melaka dan Negeri Sembilan yang berlangsung di Klana Grand Ballroom di sini pada Ahad.
Mengimbau perjuangan reformasi, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, antara ahli terawal membangunkan parti termasuk dirinya pernah berperanan sebagai penceramah secara mengejut.
“Saya dahulu bekerja di firma chartered accountants, duduk 10 tahun di United Kingdom (UK), tetapi bila pulang ke Malaysia, saya tampal poster dan pasang bendera.
“Tapi saya tak pernah jaga trafik. Yang paling teruk pun, jadi penceramah bidan terjun. Ketika kita susah, tiada siapa yang mahu dekat. Rakyat perhati siapa pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pemilihan PKR kali ini amat penting bagi memastikan kelangsungan perjuangan PH, khususnya PKR, untuk terus mentadbir kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Sebenarnya kita masih jauh lagi. Pemilihan ini penting kerana kita tidak boleh berfikir bahawa kita akan terus jadi kerajaan sampai bila-bila.
“Kalau PRU akan datang kita kalah, kalau tak dapat undi, bagaimana? Masa berkuasa ramai yang datang, tapi bila hilang kuasa, kawan-kawan yang berjuang tanpa pangkat inilah yang akan kita cari semula,” katanya.