14 cabang PKR Kedah sokong Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden

ALOR SETAR - Seramai 14 daripada 15 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kedah menyatakan sokongan penuh terhadap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu bagi penggal 2025 hingga 2028.

Menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Ketua Cabang PKR Pokok Sena, Mohd Altab Pa Ibrahim, kesemua mereka bersepakat Nurul Izzah memiliki kredibiliti, ketokohan serta rekod perjuangan yang cekal dalam mendukung agenda reformasi serta prinsip keadilan sosial.

“Nurul Izzah bukan sekadar pemimpin, beliau adalah nadi perjuangan reformasi sejak awal.

“Keteguhan beliau mengharungi cabaran demi menegakkan prinsip keadilan menjadikan dirinya lambang keberanian dan kecekalan dalam sejarah parti,” katanya.

Mereka turut menyifatkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai suara rakyat dan simbol harapan yang mampu membawa PKR ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

“Kami percaya, Nurul Izzah bukan sekadar pemimpin, beliau adalah nadi perjuangan reformasi sejak mula. Beliau menunjukkan komitmen yang jitu dalam sejarah perjuangan parti ini,” katanya lagi.

Mohd Altab berkata, Nurul Izzah bukan hanya membawa agenda reformasi, malah beliau adalah obor yang menyalakan semangatnya.

“Kami yakin beliau adalah calon terbaik untuk menerajui jawatan Timbalan Presiden.

"Sebagai tokoh politik berwibawa, Nurul Izzah telah membuktikan dirinya sebagai suara rakyat dan simbol harapan buat seluruh rakyat Malaysia yang mendambakan perubahan sistemik dan masa depan lebih adil,” ujarnya.

Antara ketua cabang yang menyatakan sokongan ialah Ketua Cabang PKR Jerlun, Mohamad Rudzi Samsudin; Ketua Cabang Langkawi, Ismail Wasi Ahmad Shafawi; Ketua Cabang Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ketua Cabang Alor Setar, Chan Ming Kai.

Ini termasuk, Ketua Cabang Jerai, S. Poobalan; Ketua Cabang Kubang Pasu, Azizi Azizan; Ketua Cabang Merbok, M. Yugins serta Ketua Cabang Kulim-Bandar Baru, Yeo Keng Chuan.

Sementara itu, difahamkan hanya satu cabang, iaitu PKR Padang Serai yang diketuai Shamsul Anuar Abdullah menyatakan sokongan kepada Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pemilihan pucuk pimpinan tertinggi PKR dijangka berlangsung pada 23 Mei ini.

Setakat ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan akan bertanding mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti, sementara Saifuddin Nasution mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat'.

Nurul Izzah pula dalam kenyataan media pada Rabu memaklumkan, sebarang keputusan yang akan diambil berhubung pencalonan sebagai Timbalan Presiden PKR bukan untuk mana-mana individu, tetapi demi membina masa depan parti.

Beliau akan memberikan keputusan terbaik dengan mengimbangi antara kesepakatan, jalinan persahabatan serta perubahan dan reformasi.