JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pemilihan parti penggal 2025–2028.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor itu difahamkan sudah mendaftar pencalonannya secara dalam talian pada petang pada Khamis.
Yusnewaran berkata, pencalonan berkenaan bukan sekadar satu langkah politik, tetapi merupakan pendirian yang lahir daripada rasa tanggungjawab terhadap perjuangan reformasi yang telah sekian lama digerakkan oleh parti.
“Ini bukan sekadar pencalonan. Ini adalah pendirian. Politik bukan medan untuk berkuasa, tetapi ruang untuk berkhidmat.
"PKR ialah wadah perjuangan yang membela rakyat dan memperjuangkan keadilan,” katanya dalam muat naik di Facebook pada Khamis.
Yuneswaran yang telah menyertai parti sejak 17 tahun lalu berkata, pengalaman dari peringkat akar umbi hingga ke Dewan Rakyat telah membentuk dirinya sebagai pemimpin yang setia kepada roh perjuangan parti.
“Saya membesar dalam gerakan ini, memimpin program masyarakat, mendengar keluhan rakyat, khususnya anak muda dan warga marhaen.
"PKR memberi ruang kepada rakyat biasa untuk membina masa depan bersama,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan PKR harus terus menjadi parti yang menjunjung keterangkuman, menolak politik elitis, dan menjadi jambatan antara idealisme generasi muda serta kebijaksanaan pemimpin berpengalaman.
“Saya percaya PKR mesti melahirkan lebih ramai pemimpin yang berani menyatakan kebenaran, walaupun dalam suasana paling mencabar,” katanya.
Proses pencalonan bagi pemilihan peringkat pusat dibuka selama dua hari bermula jam 12 tengah Khamis hingga jam 11.59 malam Jumaat.
Selain Chang Lih Kang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, semua penyandang jawatan Naib Presiden telah menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan masing-masing.
Mereka ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nama lain yang pernah dilaporkan turut berminat untuk bertanding jawatan itu ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.