Bawa naratif 'UMDap' sebab Pas kesal dan cemburu - Veteran UMNO

SHAH ALAM – Naratif ‘UMDap’ yang dimainkan Pas ketika ini terhadap kerjasama UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) didakwa mencerminkan kekesalan dan rasa cemburu parti tersebut terhadap kejayaan dua gabungan membentuk Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakob mendakwa, Pas sebenarnya terlebih dahulu telah ‘mensucikan’ DAP melalui kerjasama yang digelar 'PasDap'.

“Pas telah berusaha menjinakkan ‘kuda liar’ DAP selama ‘berPasDap’ dalam satu kandang. Namun, Pas tidak mampu ‘menunggang’ DAP kerana Pas suka ‘masuk dari belakang’ sehingga ditendang oleh kuda liar itu. Akhirnya, Pas mengundur diri dan keluar dari kandang.

“Hari ini, kuda liar yang hampir jinak itu bersama UMNO, dan ia semakin jinak dalam kandang Barisan Nasional (BN)–PH.

“Pas menyesal dan cemburu serta menuduh UMNO telah mensucikan DAP melalui UMDap. Sebenarnya, Pas yang terlebih dahulu mensucikan DAP melalui PasDap,” katanya seperti dipetik portal UMNO Online, pada Khamis.

Mustapha turut menegaskan bahawa UMNO hanya bekerjasama dengan DAP dalam satu gabungan dan tidak pernah terikat secara mutlak dengan parti tersebut.

“UMNO bukan menjadi barua DAP. UMNO bukan menjadi ‘pak turut’ DAP. UMNO tetap UMNO. UMNO itu Islam. UMNO itu Melayu. UMNO itu Raja-raja Melayu. UMNO itu tanah airnya Melayu.

“Kerjasama UMNO dengan PH bersifat strategik. UMNO boleh keluar daripada kandang sekiranya agama, bangsa, Raja-raja Melayu dan negara ini tidak dihormati serta diterima oleh PH,” tegas beliau.

Beliau turut membezakan kedudukan UMNO dengan Pas dalam hubungan dengan DAP, mendakwa Pas pernah mencipta pelbagai fatwa demi mewajarkan kerjasama mereka suatu ketika dahulu.

“Pas yang telah memberi gelaran kepada Lim Guan Eng sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz. Pas juga yang menghalalkan penyokongnya mengundi DAP dan menjulang bendera DAP buat kali pertama dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas.

“Pas yang berdakap dan bercium dengan DAP. UMNO tidak pernah lakukan semua itu,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Pas pertama kali menjalinkan kerjasama dengan DAP ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada tahun 1999 menerusi platform Barisan Alternatif (BA). Selepas itu, kerjasama Pas dan DAP diteruskan menerusi Pakatan Rakyat (PR) dari tahun 2008 sehingga 2015 sebelum ia dibubarkan.