Wanita Keadilan Ledang 'tepis' sokongan terbuka terhadap Nurul Izzah

JOHOR BAHRU - Wanita Keadilan Ledang tidak pernah membuat sebarang kenyataan menyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden, sebagaimana yang dinyatakan oleh Exco Wanita Pusat yang juga Ketua Wanita Cabang Pasir Gudang, Noraziah Mohd Razit.

Ketua Wanita Keadilan Cabang Ledang, Norlaila A Jalil berkata, pihaknya nyata tidak bersetuju dengan kenyataan berkenaan kerana ia masih terlalu awal untuk membuat keputusan bahawa semua wanita Johor memiliki pandangan yang sama seperti kenyataan Exco terbabit.

"Ya, benar seperti kenyataan saya di laman Facebook. Saya tidak menafikan kredibiliti saudari Nurul Izzah sebagai pemimpin wanita.

"Cuma saya tidak bersetuju dengan kenyataan Exco Wanita Pusat seperti yang tersiar di media.

"Ini kerana kenyataan berkenaan bukanlah mewakili saya sebagai Wanita Keadilan Johor," katanya.

Pada Rabu, Exco Wanita PKR, Noraziah Mohd Razit menyatakan bahawa Wanita PKR Johor menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden.

Katanya, sokongan tersebut dilihat selari dengan aspirasi parti bagi memperkukuh peranan wanita dalam kepimpinan, sejajar dengan sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam barisan tertinggi.

Sementara itu, Norlaila berkata, pihaknya juga tidak memiliki maklumat sama ada semua Ketua Wanita Johor telah dipanggil dan didengar setiap pandangan mereka.