ALOR SETAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah menyatakan sokongan kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu bagi penggal 2025 hingga 2028.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Ketua AMK Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari, keputusan tersebut dibuat berdasarkan rekod cemerlang serta ketokohan Nurul Izzah yang dianggap sebagai simbol perjuangan reformasi sejak era 1998.
Menurutnya, sokongan yang diberikan mencerminkan kepercayaan AMK Kedah terhadap kemampuan Nurul Izzah dalam membawa pembaharuan serta memperkukuh struktur kepimpinan PKR pada masa akan datang.
“Nurul Izzah merupakan pemimpin wanita yang berani dan mempunyai semangat juang tinggi dalam memperjuangkan keadilan serta menentang salah guna kuasa.
“Beliau adalah tokoh politik yang bermerit, berpengalaman luas, dan pernah memegang pelbagai jawatan penting di dalam serta di luar parti,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, tokoh yang digelar ‘Puteri Reformasi’ itu sentiasa menjadi inspirasi kepada golongan muda, khususnya wanita, untuk terlibat secara aktif dan berprinsip dalam politik.
“Beliau antara contoh pemimpin yang kental semangatnya memperjuangkan keadilan merentasi transformasi dan kematangan kepimpinan yang luar biasa.
“AMK Kedah yakin terhadap kredibiliti, wawasan serta iltizam beliau dalam meneruskan perjuangan reformasi demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya lagi.
Mohammed Taufiq berkata, perjalanan politik Nurul Izzah bermula sejak penglibatannya pada tahun 1998, sewaktu tercetusnya gerakan reformasi.
“Momen itu turut menjadi pembakar semangat untuk beliau memperjuangkan keadilan dan mencabar kepimpinan sedia ada ketika itu yang bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa.
“Fokus Nurul Izzah pada ketika itu ialah untuk menyaksikan kebangkitan Malaysia yang lebih baik, dengan ruang demokrasi yang memberi rakyat pilihan untuk mengetengahkan harapan, aspirasi dan iltizam mereka.
“Semangat ini amat diperlukan dalam memperkukuh parti,” katanya.
Pemilihan pucuk pimpinan tertinggi PKR dijangka berlangsung pada 23 Mei ini.
Setakat ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, telah mengesahkan akan bertanding mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti, sementara Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.
Nurul Izzah pula dalam kenyataan media pada Rabu memaklumkan bahawa sebarang keputusan yang akan diambil berhubung pencalonan sebagai Timbalan Presiden PKR bukan untuk mana-mana individu, tetapi demi membina masa depan parti.
Beliau akan membuat keputusan terbaik dengan mengimbangi antara kesepakatan, jalinan persahabatan serta semangat perubahan dan reformasi.