KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa pencalonan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden dalam pemilihan parti merupakan satu bentuk amalan nepotisme disifatkan sebagai pandangan golongan yang “malas berfikir”.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berpandangan bahawa Nurul Izzah layak bertanding jawatan tersebut berdasarkan pengalaman luasnya sebagai Ahli Parlimen dan sebagai pengasas parti sejak awal penubuhannya.
Fahmi berkata, Nurul Izzah juga dikenali sebagai seorang "wanita besi" sejak zaman persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Assunta, Petaling Jaya, Selangor kerana aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan.
Justeru, beliau menyifatkan dakwaan yang mengaitkan pencalonan Nurul Izzah dengan nepotisme sebagai satu label yang "malas dan lemah".
Menurutnya, tuduhan tersebut sering datang daripada golongan yang hanya suka mencerca, mengherdik dan menghina individu tanpa membuat kajian secara mendalam.
“Mereka mungkin lupa bahawa Nurul Izzah pernah digelar sebagai ‘pembunuh gergasi politik’ susulan kejayaannya menewaskan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (Ketua Wanita UMNO) dalam pertandingan merebut kerusi Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum 2008, meskipun pada mulanya dianggap satu misi mustahil,” katanya kepada pemberita semasa sesi wawancara khas Interviu bersama Sinar Harian, Jumaat lalu.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau menyokong pencalonan Nurul Izzah berdasarkan pengalamannya sendiri yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai itu pada tahun 2010.
Beliau turut menyifatkan Nurul Izzah sebagai pemimpin yang tegas dan tidak mudah dipengaruhi sesiapa.
Sebagai contoh, Fahmi mendedahkan bahawa bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua, pernah cuba memujuk anak sulung kepada Perdana Menteri ke-10 itu supaya tidak bertanding dalam pemilihan parti sekitar tahun 2010, namun rayuan tersebut tidak diendahkan oleh Nurul Izzah.
“Nurul Izzah juga berjaya menyandang jawatan Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen untuk tempoh yang lama berdasarkan keupayaan dan kewibawaannya sendiri, bukan disebabkan budaya nepotisme,” katanya.
Fahmi turut menambah bahawa Nurul Izzah adalah antara pemimpin yang banyak mencorakkan hala tuju masa depan parti serta berjaya menarik golongan muda menyertai PKR.
Katanya lagi, ramai pemimpin dunia, termasuk Presiden Filipina, Bongbong Marcos, dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, mempunyai kaitan dengan legasi kepimpinan terdahulu.
“Namun, mereka memegang jawatan tertinggi negara bukan atas dasar nepotisme, sebaliknya berdasarkan bakat dan kebolehan tersendiri. Begitu jugalah situasi dalam PKR sekarang,” ujarnya.