251 pencalonan diterima untuk pemilihan PKR Pusat - Dr Zaliha

SHAH ALAM - Sebanyak 251 pencalonan telah diterima untuk pertandingan pelbagai jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) setakat Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 104 pencalonan melibatkan MPP, 85 bagi peringkat Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 62 bagi Wanita PKR.

“Pemilihan kali ini turut menyaksikan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Ketua AMK.

“Proses seterusnya akan melibatkan tempoh bantahan pada 11 dan 12 Mei, diikuti dengan proses rayuan terhadap sebarang bantahan pada 13 dan 14 Mei tahun ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujar Dr Zaliha, jumlah penyertaan yang memberangsangkan itu membuktikan PKR tidak ketandusan bakat pelapis, malah mengukuhkan lagi posisi sebagai wadah perjuangan dalam memperkasakan demokrasi dalaman parti.

Menurutnya, senarai akhir calon peringkat Pusat akan dimuktamadkan pada 15 Mei depan.

“Tempoh rasmi berkempen akan bermula sejurus selepas senarai muktamad dan akan berakhir pada 22 Mei jam 11.59 malam,” ujarnya.

Kata beliau, semua calon diingatkan agar sentiasa mematuhi segala peraturan dan tata etika pemilihan yang telah ditetapkan.

"Pemilihan kali ini perlu menjadi ruang memperkukuh saf perjuangan kekeluargaan yang telah menjadi asas parti sejak sekian lama.

“JPP turut merakamkan penghargaan kepada semua calon dan anggota parti yang terus komited menjayakan proses pemilihan kali ini secara tertib, telus serta penuh integriti.

“Komitmen ini adalah cerminan kekuatan sebenar PKR yang terus mara ke hadapan bersama rakyat,” menurutnya.