22 AMK Cabang Perak sokong Zaim tanding Ahli Majlis AMK pusat

IPOH – Sebanyak 22 cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Perak menyatakan sokongan penuh terhadap Ketua AMK negeri, Zaim Sidqi Zulkifly, untuk bertanding sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK bagi sesi 2025–2028.

Dalam satu kenyataan media bersama, kesemua ketua cabang tersebut menyifatkan Zaim sebagai seorang pemimpin yang berpengaruh, berprinsip dan berwibawa, selain konsisten memperjuangkan agenda reformasi sejak sekian lama.

“Zaim Sidqi lahir daripada denyut nadi perjuangan rakyat dan telah membuktikan iltizamnya dalam memperjuangkan agenda reformasi secara konsisten selama berdekad dalam kepimpinan parti.

“Keupayaan beliau menerajui AMK Perak telah membawa nama sayap pemuda ini semakin dikenali dan dihormati di seluruh negara,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

AMK Perak turut berpandangan bahawa kepimpinan seperti Zaim diperlukan dalam parti bagi memperkukuh kekuatan di peringkat akar umbi serta menghadapi cabaran politik semasa.

Sehubungan itu, AMK Perak menyeru seluruh anggota, khususnya anak muda KEADILAN di seluruh negara, agar menyokong pencalonan Zaim dalam pemilihan parti yang akan datang.

Antara yang menandatangani kenyataan tersebut termasuk Ketua AMK Tambun, Ashraf Kahasani; Ketua AMK Tapah, Muhammad Nor Azlizam Azrin Yusri; Ketua AMK Taiping, Muhammad Izzaz Afzal Zainon Shah; serta Ketua AMK Lumut, Muhammad Taufiq Abdul Mutalib.

Kongres Nasional Keadilan, termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita, dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.