Pencalonan pemilihan PKR tamat, Anwar tidak dicabar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekal tanpa dicabar bagi jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas pencalonan bagi pemilihan parti itu berakhir pada 11.59 malam ini.

Bagaimanapun, menurut sumber, jawatan Timbalan Presiden bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan penyandang, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, seramai 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing.

Berikut ialah senarai calon yang bertanding bagi jawatan Naib Presiden PKR bagi sesi 2025–2028:

Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi)

Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam)

Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor)

Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan)

Datuk Seri R. Ramanan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi)

Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru)

R. Yuneswaran (Ahli Parlimen Segamat)

Dr Sathia Prakash Nadarajan (Ketua Cabang PKR Hulu Selangor)

Abun Sui Anyit (Ketua Cabang PKR Hulu Rajang / Ahli Dewan Negara)

Hee Loy Sian (Bekas EXCO Selangor)

Mustaffa Kamil Ayub (Pengerusi Institut Keusahawanan Negara)

Manivanan Gowin (Ketua Cabang PKR Jempol)

Selain itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, merupakan calon tunggal bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Jawatan Ketua Wanita PKR pula menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Pencalonan bagi Pemilihan PKR 2025 berlangsung selama dua hari bermula Khamis lalu secara dalam talian.

Proses bantahan dijadualkan pada 11 dan 12 Mei ini, diikuti rayuan bantahan pada 13 dan 14 Mei, tarikh akhir penarikan diri pada 14 Mei, senarai muktamad calon pada 15 Mei, tempoh kempen dari 15 hingga 22 Mei, dan pengundian pada 23 Mei.

Kongres Nasional PKR, termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita, dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.