Bakal calon Ketua AMK sokong Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR

SHAH ALAM - Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Kamil Abdul Munim menyatakan sokongan bagi mengangkat Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan sesi 2025-2028.

Muhammad Kamil yang juga bakal bertanding merebut jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengakui bahawa Nurul Izzah berkelayakan untuk memegang jawatan tersebut.

Beliau juga berkeyakinan Nurul Izzah Anwar adalah pemimpin selayaknya untuk menyambung obor perjuangan PKR bagi menjamin kelangsungan parti selain mempunyai keupayaan menjambatani idealisme dengan tuntutan realiti politik semasa.

"PKR sebagai wahana yang tegas dan terbukti setia pada idealisme telah teruji dan terdedah kepada pelbagai ujian dan cabaran perjuangan.

"Menginsafi hakikat itu adalah tugas utama mana-mana pimpinan dan anggota betapa tradisi demokrasi di dalam parti telah melalui pelbagai fasa yang mematangkannya.

"Lantaran itu, sebagai menyokong hakikat tersebut, saya berkeyakinan bahawa Nurul Izzah Anwar adalah yang selayaknya untuk menyambung obor perjuangan bagi menjamin kelangsungan parti selain punyai keupayaan menjambatani idealisme dengan tuntutan realiti politik semasa," katanya menerusi Facebook pada Rabu.

Dalam pada itu kata Muhammad Kamil, budaya merebut kuasa dalam gelanggang demokrasi adalah lumrah, namun apa yang utama adalah bagaimana kuasa diterjemah demi rakyat.

"Maka dalam usaha kita mengolah amanah dan harapan rakyat saat ini, ketokohan dan karisma ternyata menjadi penyuntik kekuatan dan semangat baharu di kalangan pimpinan serta anggota.

"Sebagai memaknai hasrat tersebut, saya mempunyai keyakinan tinggi bahawa Nurul Izzah adalah calon terbaik untuk Timbalan Presiden PKR.

"Sejarah tidak mampu menafikan betapa ketokohan beliau teruji dengan asakan sistem yang zalim di masa lalu itu telah melonjak kepemimpinan beliau tatkala menjadi antara pengasas dan penggerak awal gerakan reformasi dan memastikan lahirnya Keadilan (PKR) sebagai wadah untuk massa," katanya.

Tambahnya, dengan nilai kepemimpinan yang tegas dan unik, beliau mempunyai harapan yang besar pada kepemimpinan Nurul Izzah dalam membina lakaran sejarah bangsa yang lebih terangkum dan berketrampilan

"Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi," katanya.