SEREMBAN – Tiga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan menyatakan kesediaan dan keterbukaan mereka sekiranya Nurul Izzah Anwar menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025–2028.
Pendirian itu dinyatakan menerusi kenyataan bersama oleh Ketua AMK Rembau, Mohamad Hamizan Mohd Bahtiar; Ketua AMK Cabang Jempol, Muhammad Zahin Zinal Abidin; dan Ketua AMK Cabang Kuala Pilah, Shaliashaziq Mohd Sahar.
Menurut mereka, sebagai pemimpin muda di peringkat cabang, mereka menghormati dan mendengar denyut nadi anggota akar umbi yang mengharapkan barisan kepimpinan parti diisi oleh tokoh yang berpengalaman, berprinsip serta konsisten dalam perjuangan.
“Kami mengambil maklum mengenai sentimen akar umbi yang semakin lantang menyuarakan harapan agar Nurul Izzah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.
“Nurul Izzah bukan asing dalam gerakan reformasi. Rekod politik beliau dari peringkat cabang ke Parlimen membuktikan kewibawaan dan iltizam yang berakar pada nilai, bukan sekadar nama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Mereka turut menolak sekeras-kerasnya naratif dangkal yang cuba mengaitkan pencalonan anak Perdana Menteri itu dengan unsur nepotisme.
Jelas kenyataan itu lagi, PKR bukan parti warisan keluarga, tetapi parti reformasi yang memberi ruang kepada semua berdasarkan merit dan prinsip.
“Jika beliau memilih untuk bertanding, ia adalah hak demokratik yang dijamin oleh Perlembagaan parti dan kami sebagai Ketua AMK Cabang sedia menyatakan sokongan.
“Sokongan ini bukan kerana nama, tetapi kerana rekod. Bukan kerana keturunan, tetapi kerana kelayakan.
“Kami percaya bahawa dengan penyertaan calon seperti Nurul Izzah, proses pemilihan parti akan menjadi lebih segar, lebih bermakna dan lebih berpaksikan masa depan,” ujar kenyataan itu.
Selain itu, mereka turut menegaskan bahawa pertandingan yang sihat dalam parti harus diraikan dan bukannya dicurigai.
“Yang penting, parti kekal kuat, rakyat terus dibela dan reformasi tetap diteruskan,” tambah mereka.