Rafizi tukar konsep podcast kepada ‘Yang Berhenti Menteri’

SHAH ALAM – Ketiadaan episod baharu podcast ‘Yang Bakar Menteri’ (YBM) sejak September lalu menimbulkan persoalan mengenai hala tuju program tersebut, malah konsep YBM kini dilihat membawa maksud baharu iaitu ‘Yang Berhenti Menteri’.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, memaklumkan bahawa program YBM yang dikendalikannya itu akan kembali bersiaran pada Sabtu ini.

Menurutnya, program bual bicara tersebut akan bersiaran pada jam 9 malam di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Seri Kembangan, Selangor.

Jelas beliau, siaran kali ini dibawa keluar dari studio ke lokasi terbuka dan boleh dihadiri orang ramai.

“Saya akan mengambil kesempatan ini untuk memberikan penjelasan dan menjawab segala persoalan berkaitan isu dan polemik yang hangat diperkatakan dalam satu dua minggu kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Khamis.

Kali terakhir podcast YBM bersiaran adalah pada 30 September 2024, yang menampilkan pempengaruh media sosial, Lim Sian See, bagi membincangkan beberapa isu yang dibangkitkan olehnya.

Dalam perkembangan lain, Rafizi kini berdepan cabaran untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila hampir semua negeri dan cabang parti menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah Anwar, yang dilihat bakal mencabar kedudukannya.

Selain Nurul Izzah, nama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut disebut sebagai calon berpotensi untuk bertanding jawatan tersebut.