TUARAN - Belum ada keputusan muktamad berhubung kerjasama dan agihan kerusi melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menegaskan bahawa kerajaan yang dipimpinnya kini merupakan kerjasama antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).
"Kerajaan sekarang ialah GRS-PH, jadi dalam konteks ini kita bermula dari sana. Tetapi ini belum lagi muktamad, agihan di antara kita pun belum muktamad dan juga kerjasama agihan kerusi dengan PH itu pun belum lagi dimuktamadkan.
"Kalau dekat nanti pilihan raya atau sudah bubar, barulah kita boleh cakap dapat dimuktamadkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Daerah Tuaran Tahun 2025–2027 di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan presiden parti-parti komponen dalam GRS yang mahukan penjelasan sama ada gabungan itu akan bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau menjalinkan kerjasama dengan gabungan lain.
Mengulas lanjut mengenai kemungkinan parti-parti komponen yang tidak mempunyai kerusi akan diberikan peluang bertanding pada PRN kali ini, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menjelaskan semua parti perlu menerima hakikat bahawa calon yang diketengahkan harus berpotensi untuk menang.
"Kita tengok keadaan, ini soal kalau kita letak calon, calon itu mesti yang boleh menang. Kita tidak kira dari parti mana, yang penting boleh menyumbang kemenangan kepada GRS, itu saja.
"Jadi, kalau kita pun minta kerusi tapi kita tidak boleh menang, susah juga. Jadi kita mesti menerima hakikat ini," katanya.
Mengulas pertemuan antara presiden-presiden parti komponen GRS yang diadakan pada Rabu, Hajiji berkata, perbincangan sesama parti adalah penting bagi memastikan kesepakatan dalam menghadapi PRN.
"Kita selalu membincangkan kepentingan gabungan kita terutama sekali menghadapi PRN akan datang ini. Jadi salah satunya juga orang melihat ada sedikit (isu) bukan juga ketegangan, macam 'berbalas pantun' (berbalas kenyataan) di antara mereka.
"Itu biasalah dalam politik. Tetapi, demi kepentingan gabungan itu, perkara begini kita anggap selesai perbezaan itu. Yang penting kita membuat sesuatu perancangan perpaduan untuk menghadapi PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.
"Insya-ALLAH, GRS kerajaan yang ada pada hari ini akan diberi sekali lagi mandat oleh rakyat untuk memerintah," katanya.