Calon PM wanita pertama Malaysia

SHAH ALAM - Semakin ramai pemimpin PKR menyatakan sokongan terbuka kepada Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, sebagai mempersiap masa depan parti sekali gus memberi harapan kepada Malaysia mendapat seorang Perdana Menteri wanita pertama.

Sejak Selasa, sekurang-kurangnya sebanyak 67 Cabang PKR, selain Majlis Pimpinan Negeri di Selangor, Melaka, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak, menyokong anak Presiden PKR itu.

Antara pemimpin kanan yang turut berbuat demikian ialah Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek; Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli, dan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin.

Jawatan Timbalan Presiden ketika ini disandang Datuk Seri Rafizi Ramli, 47. Selain Nurul Izzah, 44, seorang lagi tokoh kanan PKR yang disebut-sebut mungkin mencabar Rafizi ialah Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, 61, yang juga bekas Setiausaha Agung parti.

Pencalonan pemilihan peringkat pusat akan bermula hari ini hingga esok, manakala pemilihan dijadual berlangsung pada 24 Mei ini.

**media[3116610]**

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menyifatkan Nurul Izzah sebagai ‘penyelamat’ PKR dan calon sesuai bagi memenuhi impian rakyat Malaysia untuk mendapat seorang Perdana Menteri wanita buat kali pertama.

Ujar Hassan, beliau rela berada di barisan hadapan untuk mempertahankan Nurul Izzah walaupun secara prinsipnya menentang amalan kronisme sama ada dalam kerajaan ataupun parti.

Beliau menegaskan bahawa hak Nurul Izzah untuk bertanding tidak boleh dinafikan hanya kerana beliau merupakan anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden PKR.

“Nurul Izzah mempunyai kebolehan dan jika beliau bertanding Timbalan Presiden PKR, insya-ALLAH boleh menang atas meritnya. Anwar pula seharusnya berkecuali dan memerhati sahaja jika puterinya itu masuk gelanggang dan bersaing secara demokratis.

“Nurul Izzah adalah faktor yang boleh menyelamatkan PKR daripada mendapat pilihan yang tidak sesuai untuk jawatan sepenting Timbalan Presiden parti,” katanya dalam kenyataan.

Hassan berkata, pemilihan PKR kali ini dilihat sebagai satu bentuk revolusi demokrasi yang dilaksanakan melalui sistem pengundian digital paling canggih.

Menurutnya, persaingan merebut jawatan berkenaan perlu sengit supaya tidak ada dakwaan mengatakan Nurul Izzah menang atas dasar kronisme.

“Anggota PKR yang bersama dengan perjuangan parti sejak lebih 25 tahun lalu memang mengenali kekuatan dan kelemahan serta sahsiah Nurul Izzah yang memang layak diberi peluang untuk tumbuh sebagai pemimpin. Rakyat Malaysia mahukan pemimpin muda yang matang dan mendewasa dalam perjuangan.

“Sebagai seorang yang berpelajaran tinggi di universiti dalam bidang kejuruteraan elektrik dan 15 tahun sebagai ahli Parlimen Malaysia, dua penggal jadi Ahli Parlimen Lembah Pantai dan satu penggal lalu di Permatang Pauh, maka Nurul Izzah telah membina pengalaman sebagai penggubal undang-undang dan pembina polisi negara,” ujarnya.

Menjelang hari pencalonan, Nurul Izzah dilihat berada di depan berbanding Rafizi dan Saifuddin khususnya dari segi sokongan daripada cabang PKR.

Apatah lagi format pemilihan kali ini adalah berbeza berbanding pemilihan 2022, yang memberi kuasa kepada perwakilan daripada 222 cabang untuk menentukan kepimpinan pusat.

Pada 2022, seramai 1.11 juta ahli PKR layak mengundi, namun berdasarkan peraturan baharu, kira-kira 20,000 perwakilan Kongres Nasional sahaja yang akan berbuat demikian pada pemilihan kali ini.

Jika menang pemilihan ini, Nurul Izzah hanya selangkah lagi untuk menggantikan bapanya sebagai Presiden, jika disokong oleh ahli PKR.

Sebagai Presiden parti pula, laluan Nurul Izzah ke jawatan Perdana Menteri terbuka luas sekiranya Pakatan Harapan dan gabungannya, memenangi pilihan raya umum seterusnya.