KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan, bahawa segala-galanya berjalan dengan lancar dalam keluarga Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian selepas mengadakan pertemuan santai minum petang bersama tujuh presiden parti komponen GRS di Sri Gaya, pada Rabu, yang disifatkannya berlangsung dalam suasana yang harmoni.
"Semua presiden telah berikrar untuk memastikan kemenangan GRS dalam pilihan raya akan datang.
"Saya menghargai pandangan dan pendapat mereka yang matang. Mereka faham akan kepentingan GRS sebagai satu gabungan yang bersatu," katanya.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) meluangkan hampir tiga jam bersama Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
**media[3115875]**
Selain itu, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee; Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah juga berada pada majlis minum petang itu.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun.
Sebelum ini, Pandikar dilaporkan menyatakan bahawa beliau akan bergerak solo sekiranya terus diketepikan oleh GRS dan kenyataan tersebut mencetuskan reaksi pelbagai pihak, termasuk pemimpin muda dalam parti komponen itu yang mengecam kelantangannya.
Bagaimanapun, tindakan segelintir pemimpin muda atau tokoh bawahan yang mengkritik atau merendahkan pemimpin kanan secara terbuka disifatkan tidak wajar oleh Jeffrey dan Teck Lee.