13 pemimpin PKR Wilayah Persekutuan sokong Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden

SHAH ALAM - 13 pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Nurul Izzah Anwar untuk menyambung perjuangan reformasi bagi memikul tanggungjawab Timbalan Presiden bagi pemilihan sesi 2025 hingga 2028.

Mereka ialah Ketua Cabang Bandar Tun Razak, Datuk Azman Abidin; Ketua Cabang Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Cabang Putrajaya, Muhammad Fikri Abdul Aziz; Ketua Cabang Wangsa Maju, Andre Lai; Ketua Cabang Kepong, Neo Wong; Ketua Cabang Titiwangsa, Syed Badli Shah dan Ketua Cabang Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki.

Selain itu, turut bersama ialah Ketua Cabang Batu, Asheeq Ali; Ketua Cabang Seputeh, Thiyagaraj Sankaranarayanan; Ketua Cabang Bukit Bintang, Anwar Pawan Chik; Ketua Cabang Segambut, Vignesvaran Gunasagaran; Ketua Cabang Labuan, Simsudin Sidek dan Ketua Cabang Cheras, Mohamad Raimi.

Dalam satu kenyataan bersama, 13 pemimpin itu berkata, cabaran dan perubahan landskap politik semasa menuntut satu langkah yang berani dalam usaha memperkukuh PKR sebagai parti yang sentiasa di hadapan dalam menerajui pentadbiran negara.

“Melalui beberapa siri libat urus bersama akar umbi di peringkat nasional, PKR Wilayah Persekutuan yakin Nurul Izzah bakal menerima sokongan padu selaku figura utama yang akan memberi nafas baharu dalam menguatkan jentera parti dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Gelaran Puteri Reformasi dinobatkan kepada beliau yang sekian lama berdiri di atas kaki sendiri menempa nama sebagai pemimpin parti, sebati dengan liku-liku perjuangan memberikan Nurul Izzah pengalaman luas mengemudi bahtera parti.

“Sebagai penggerak utama kempen Ayuh Malaysia, beliau berjasa besar menghidupkan semangat anggota serta menjadi watak pendamai bagi menyatukan PKR sebagai satu keluarga besar yang akhirnya berjaya merealisasikan kemenangan parti untuk memerintah negara pada hari ini,” katanya pada Rabu.

Tambah 13 pemimpin itu, sokongan tersebut bukan atas nama hubungan atau nostalgia sejarah perjuangan semata, namun keyakinan terhadap kapasiti dan integriti beliau sebagai pemimpin masa depan parti.

“PKR memerlukan sosok seperti Nurul Izzah yang mempunyai diplomasi tinggi untuk merapatkan saf dan menyatukan kekuatan dalaman serta memperkukuh jalinan bersama rakan-rakan gabungan.

“Insya-ALLAH langkah berani ini akan disahut oleh seluruh kepimpinan dan anggota parti untuk bergerak maju membawa harapan rakyat untuk Malaysia yang lebih baik untuk semua,” ujarnya.