SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bertindak segera mengenalpasti kelemahan sistem pemilihan digital yang dibangkitkan peringkat cabang tidak berulang menjelang pemilihan 24 Mei ini.
Beliau berkata, JPP bertanggungjawab memastikan proses pemilihan pusat termasuk keabsahan dan kemampuan teknikal sistem berjalan dengan lancar untuk mengelakkan kontroversi berpanjangan selepas pemilihan pusat selesai.
"Antaranya mengesahkan jumlah Kata Laluan Satu Kali (OTP) yang dikeluarkan berbanding dengan jumlah eKYC, undi di pelayan S3 dan undi akhir yang direkodkan di ‘blockchain’, untuk mengenalpasti berapa banyak undi yang tercicir akibat kelemahan sistem.
"Kedua, melindungi versi kod asal yang dimuat naik di pelayan awan, memastikan versi yang betul dan sama digunakan sepanjang proses pemilihan, menyemak keseluruhan kod asal bagi setiap versi yang dimuat naik untuk memastikan tidak ada kod berbeza yang memproses pengundian.
"Seterusnya, melindungi dan mengawal muat naik kod asal dengan menyemak log muat naik sebelum, semasa dan selepas proses pengundian, bagi memastikan integriti sistem terjamin serta isu-isu teknikal lain yang dibangkitkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, laporan media menyebut Rafizi didakwa menyuarakan hasrat untuk melepaskan jawatan dalam satu pertemuan bersama penyokongnya yang berlangsung selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 23 April lalu.
Bagaimanapun, sumber menafikan dakwaan kononnya beliau sudah mengosongkan pejabatnya.
Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily turut melaporkan bahawa Rafizi dikatakan tidak berpuas hati dengan sistem pemilihan parti yang didakwa tidak telus, justeru mencadangkan agar satu audit dilakukan oleh syarikat luar negara.
Dalam pada itu, Rafizi turut memaklumkan, sepanjang tempoh bercuti dari 29 April hingga 5 Mei, beliau telah mengadakan pelbagai pertemuan dan membawa isu-isu berbangkit mengenai pemilihan kepada MPP.
Jelasnya, MPP bertarikh 29 April lalu, bersetuju supaya satu audit bebas dijalankan untuk memastikan sistem pemilihan digital bebas dari campur tangan yang mempengaruhi keputusan akhir di peringkat cabang.
"Laporan juru audit bebas ini dibentangkan di dalam MPP bertarikh 4 Mei lalu, seperti di dalam Lampiran A. Berdasarkan laporan ini, MPP menerima gesaan Presiden supaya keputusan di peringkat cabang disahkan walaupun ada aduan-aduan berbangkit, agar parti boleh bergerak ke hadapan dan pemilihan peringkat pusat dapat diteruskan.
"Semasa audit bebas itu berjalan, seperti mana persetujuan MPP bertarikh 29 April lalu, calon-calon yang membuat aduan boleh melantik wakil teknikal mereka untuk turut serta sebagai pemerhati semasa proses audit," katanya.
Rafizi turut menyertakan laporan wakil teknikal yang dilantik calon mengenai keseluruhan proses audit di Lampiran B.
Menurutnya, atas prinsip ketelusan kepada semua anggota parti, beliau percaya kedua-dua pandangan daripada laporan tersebut boleh memberi konteks keseluruhan kepada pelbagai isu yang timbul.
"Walau apa pun kesimpulan yang dibuat, saya menyeru supaya anggota-anggota parti menerima saranan untuk merapatkan saf dan memberi tumpuan mengukuhkan parti," katanya.