SHAH ALAM - Barisan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tampil menyatakan sokongan terbuka terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden menjelang pemilihan parti itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Nurul Izzah dianggap sebagai simbol keteguhan prinsip dan keberanian perjuangan sejak awal era reformasi.
Menurut beliau, parti kini memerlukan pemimpin yang bukan sekadar petah berpidato atau pandai berstrategi pilihan raya, tetapi yang benar-benar faham akan denyut nadi akar umbi dan bersedia meletakkan parti mengatasi kepentingan peribadi.
"Nurul Izzah bukan orang baharu. Sejak muda, beliau ditahan, dihina, diuji, tetapi tidak pernah lari daripada medan perjuangan.
"Beliau bukan membina nama kerana nama keluarganya, tetapi kerana prinsip yang teguh,” katanya dalam kenyataan bersama 19 Ketua Cabang PKR Selangor pada Selasa.
Amirudin menjelaskan, PKR kini perlu digerakkan oleh kepimpinan yang tidak terikat dalam pentadbiran kerajaan, sebaliknya mampu memberi fokus penuh untuk memperkukuh parti dari dalam menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Parti perlukan sosok yang mampu menyusun strategi, membina struktur dan menyegarkan semangat anggota.
"Kita yakin Nurul Izzah mampu menjadi gandingan mantap kepada Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim), bukan sekadar pelengkap tetapi penggerak yang jujur dan berani menyatakan kebenaran.
"Pencalonan ini bukan soal mewarisi nama, tetapi soal membina semula semangat dan menzahirkan harapan baharu, selain menyatukan idealisme reformasi dengan realiti politik masa kini.
"Saya yakin, dengan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden, kita dapat menyusun semula barisan yang kuat, menyemai semula kepercayaan rakyat dan memastikan PKR kekal relevan, progresif dan berwibawa.”
Sokongan terhadap Nurul Izzah itu turut dizahirkan oleh pimpinan kanan Selangor termasuk Timbalan Pengerusi, Datuk Borhan Aman Shah; Naib Pengerusi, Hee Loy Sian; dan Ketua Cabang Shah Alam, Mohd Najwan Halimi.
Pimpinan lain yang menyatakan sokongan termasuk Ketua Cabang Sepang, Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Ampang, Hulu Langat, Bangi, Puchong, Subang, Damansara, Sungai Buloh, Kapar, Klang, Kota Raja dan Kuala Langat.