Nurul Izzah penyelamat parti, pilihan tepat Timbalan Presiden PKR

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan Nurul Izzah Anwar sebagai penyelamat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon yang sesuai bagi jawatan Timbalan Presiden parti yang diyakini dapat memenuhi aspirasi rakyat negara ini.

Memetik laporan Malaysiakini, ujar Hassan, beliau rela berada di barisan hadapan untuk mempertahankan Nurul Izzah walaupun secara prinsipnya menentang amalan kronisme sama ada dalam kerajaan mahupun parti.

Beliau menegaskan bahawa hak Nurul Izzah untuk bertanding tidak boleh dinafikan hanya kerana beliau merupakan anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden PKR.

“Nurul Izzah mempunyai kebolehan dan jika beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, Insya-Allah boleh menang atas meritnya.

“Anwar pula seharusnya berkecuali dan memerhati sahaja jika puterinya itu masuk gelanggang dan bersaing secara demokratik.

“Nurul Izzah ialah faktor yang boleh menyelamatkan PKR daripada mendapat pilihan yang tidak sesuai untuk jawatan sepenting Timbalan Presiden parti,” katanya pada Selasa.

Pemilihan PKR dijangka berlangsung pada 24 Mei dengan beberapa jawatan utama termasuk Timbalan Presiden menjadi tumpuan ahli dan pemerhati politik tanah air.

Jawatan Timbalan Presiden parti itu ketika ini disandang oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Ujar Hassan, pemilihan PKR kali ini dilihat sebagai satu bentuk revolusi demokrasi yang dilaksanakan melalui sistem pengundian digital paling canggih.

Menurutnya, persaingan merebut jawatan berkenaan perlu sengit supaya tidak ada dakwaan mengatakan Nurul Izzah menang atas dasar kronisme.

“Anggota PKR yang bersama perjuangan parti sejak lebih 25 tahun lalu memang mengenali kekuatan, kelemahan serta sahsiah Nurul Izzah yang sememangnya layak diberi peluang untuk tumbuh sebagai pemimpin.

“Rakyat Malaysia mahukan pemimpin muda yang matang dan mendewasa dalam perjuangan.

“Sebagai seorang yang berpelajaran tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik di universiti, dan dengan pengalaman 15 tahun sebagai Ahli Parlimen Malaysia—dua penggal di Lembah Pantai dan satu penggal di Permatang Pauh—Nurul Izzah telah membina pengalaman sebagai penggubal undang-undang dan pembina dasar negara,” ujarnya.