PKR Cabang Tanjong Karang sokong Saifuddin Nasution tanding Timbalan Presiden

TANJONG KARANG - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tanjong Karang mengumumkan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan parti berkenaan.

Timbalan Ketua Cabangnya, Anwar Karison berkata, Saifuddin dianggap sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman luas, berprinsip dan setia kepada parti, di samping memperjuangkan agenda reformasi serta mempertahankan prinsip keadilan sosial dan demokrasi.

"Beliau (Saifuddin) telah menunjukkan kepimpinan cemerlang bukan sahaja dalam parti, malah dalam pentadbiran kerajaan sebagai Menteri Dalam Negeri yang berwibawa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, katanya, cabang itu turut percaya bahawa gabungan kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifuddin yang penuh pengalaman akan terus mengukuhkan parti tersebut dalam menghadapi cabaran politik semasa termasuk Pilihan Raya Umum akan datang.

"Saifuddin dianggap lebih neutral atau tidak begitu kontroversial dalam kalangan fraksi (kumpulan) tertentu dalam PKR," ujar beliau.

Jelas Anwar, memberi laluan kepada Saifuddin boleh dilihat sebagai usaha untuk merapatkan jurang antara kem-kem dalam parti.

"Kami di Cabang Tanjong Karang komited untuk terus menyokong kepimpinan yang membawa kestabilan, bersifat inklusif dan memperjuangkan kepentingan rakyat serta anggota parti.

"Cabang ini turut menyeru semua cabang dan anggota PKR di seluruh negara agar menyokong pencalonan Saifuddin demi memastikan parti terus melangkah ke hadapan dengan semangat perpaduan, kestabilan dan matlamat reformasi yang jelas," tambah beliau.