Pempengaruh tawar diri bertanding pemilihan AMK

SHAH ALAM - Pempengaruh Dzulhilmi Zainol menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia bagi penggal akan datang.

Menurutnya, berbekalkan pengalaman sebagai pempengaruh media sosial dan pernah dipilih sebagai Ketua AMK Damansara, Naib Ketua AMK Selangor dan beberapa peranan lain, beliau yakin dapat menyumbang terutama dari sudut perang saraf, selain membantu kerajaan Madani.

"Saya akui ia tidak mudah dan pelbagai cabaran perlu dihadapi bersama demi memastikan kepimpinan Perdana Menteri kekal.

“Dengan pengalaman sedia ada, saya yakin dapat membantu dalam menyebarkan maklumat serta melawan fitnah, tohmahan dan adu bomba yang sering diguna pakai oleh pihak pembangkang di dalam modal kempen politik mereka.

"Saya juga bertekad memastikan inisiatif Malaysia Madani disebarluaskan terutama dalam kalangan anak muda," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dzulhilmi, 34, berkata, beliau percaya bahawa pengalaman dan pengaruh yang dimiliki dapat membantu parti khususnya dalam pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar anggota memberikan sokongan penuh terhadap Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai Ketua AMK Malaysia bagi pemilihan parti tersebut.

“Saya yakin dan percaya kepimpinan Kamil dapat memacu AMK ke arah kemajuan lebih jitu selepas ini,” ujarnya.