Saifuddin belum putuskan tanding jawatan Timbalan Presiden PKR

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail masih belum memutuskan sama ada mahu bertanding jawatan timbalan presiden parti berkenaan atau sebaliknya meskipun tarikh tutup pencalonan berbaki empat hari lagi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata, pihaknya akan mengumumkan perkara berkenaan dalam masa terdekat selepas membuat pertimbangan sewajarnya.

Menurut menteri dalam negeri itu, beliau telah menamatkan hampir keseluruhan proses (Pencalonan Pemilihan PKR 2025) dan perbincangan dengan pelbagai pihak dalam parti termasuk penyandang jawatan terbabit sendiri iaitu Rafizi Ramli.

“Selain itu, ada beberapa pertemuan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Proses ini penting sebelum saya membuat sebarang keputusan berkaitan pemilihan parti.

“Namun, sebagai orang lama dalam PKR, saya lebih banyak melalui episod kekalahan berbanding kemenangan dan satu perkara yang tetap utuh dalam diri saya adalah khidmat kepada parti tidak harus bersyaratkan kepada kedudukan. Kalah atau menang bukan penentu semangat perjuangan saya.

“Keberadaan saya sejak awal untuk memperkukuh dan memperkuatkan parti. Dalam tempoh dua tahun mendatang, kita berdepan pilihan raya umum (PRU). Justeru, pemilihan parti kali ini perlu menjadi medan penyatuan, bukan perpecahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Pencalonan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat MPP, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Wanita Pusat ditangguhkan pada 8 hingga 9 Mei.

Menurut notis pemakluman penangguhan pemilihan yang ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pencalonan akan bermula jam 12 tengah hari pada 8 Mei hingga 11.59 malam, 9 Mei.

Mengulas lanjut, Saifuddin berpandangan, parti yang kuat akan menyumbang kepada kerusi lebih banyak.

“Parti yang mantap akan memperkukuh PH dan Kerajaan Perpaduan. Parti yang bersatu akan memastikan Anwar diposisikan semula sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua.

“Saya menyokong penuh proses pemilihan parti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Ini ruang demokrasi dalaman yang wajib kita hargai dan raikan,” ujarnya lagi.