Hormati kedudukan Melayu, jangan nafi sumbangan kaum lain - MCA

SHAH ALAM - Pengiktirafan terhadap kedudukan istimewa orang Melayu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan hak dan sumbangan kaum lain di negara ini.

Timbalan Pengerusi Biro Hubungan Etnik dan Agama MCA, Roger Yapp berkata, perkara itu wajar diberi perhatian kerana masyarakat Cina, India dan komuniti peribumi di Sabah serta Sarawak turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

“Kaum Cina, India dan masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak juga telah menyumbang kepada pembangunan negara ini. Mereka lahir, membesar, bekerja dan membayar cukai di sini.

“Mereka juga menyanyikan lagu kebangsaan dan menghormati bendera negara. Saya ingin mengingatkan bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan turut menyatakan tanggungjawab untuk melindungi kepentingan sah komuniti lain.

“Ini adalah semangat kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh menegaskan bahawa Malaysia selamanya merupakan Tanah Melayu dan perkara itu tidak akan berubah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Roger supaya memahami sejarah dan asas pembentukan negara terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan serta tidak menjadi seperti ‘kaduk naik junjung’.

Dalam pada itu, Roger menegaskan bahawa kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan tidak pernah dipertikaikan.

Namun, beliau mengingatkan bahawa Malaysia ialah sebuah negara majmuk yang dibentuk oleh pelbagai kaum dan wilayah, termasuk Sabah serta Sarawak.

“Kenyataan ini dibuat sebagai respons kepada Akmal Saleh yang menyatakan bahawa ‘Malaysia selamanya merupakan Tanah Melayu’.

“Saya tidak pernah mempertikaikan Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera.

“Namun, kita juga harus mengiktiraf bahawa Malaysia dibentuk pada tahun 1963 melalui penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura (yang kemudian keluar), bersama Persekutuan Tanah Melayu,” ujarnya.

Roger turut mempersoalkan sama ada kenyataan bahawa 'Malaysia selamanya ialah Tanah Melayu' mengambil kira pandangan rakyat asal Sabah dan Sarawak, termasuk komuniti Kadazan, Dusun, Iban serta Bidayuh.

Susulan itu, Roger berharap agar pemimpin politik menunjukkan semangat inklusif dan konstruktif dalam kenyataan mereka.

“Apabila seseorang menyatakan bahawa Malaysia ‘selamanya’ ialah Tanah Melayu, adakah mereka telah bertanya kepada rakyat asal Sabah dan Sarawak? Adakah suara komuniti seperti Kadazan, Dusun, Iban dan Bidayuh diambil kira?

“Malaysia ialah milik semua rakyatnya. Kita harus membina masa depan berdasarkan persefahaman, kepercayaan dan matlamat bersama, bukan berdasarkan ketakutan atau perpecahan,” kata beliau.