Isu Melayu dahulu: Akmal Saleh bidas kenyataan Muhyiddin

SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan bahawa slogan “Saya Melayu dahulu, baru Malaysia” tidak lagi penting.

Menurutnya, kenyataan itu bertentangan dengan pendirian Muhyiddin pada tahun 2010 yang sebelum ini secara terbuka mengutamakan identiti Melayu berbanding nasionalisme Malaysia.

“Tahun 2025, ‘Saya Melayu dahulu, baru Malaysia’ tidak penting lagi. Allahuakbar, benarlah kata orang, demi kuasa manusia boleh berubah.

“Moga ALLAH pelihara perjuangan yang ikhlas demi agama, bangsa dan tanah air ini. Lindungi kita daripada orang-orang yang menggunakan agama dan bangsa demi kepentingan diri sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, pada Isnin.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapannya sempena Festival Perpaduan India di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam, pada 4 Mei lalu berkata, pandangan lamanya mengenai keutamaan identiti Melayu kini tidak lagi relevan dalam konteks semasa.

Mantan Perdana Menteri itu menyatakan bahawa beliau kini merupakan pemimpin yang mengambil berat terhadap semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan menegaskan komitmen Perikatan Nasional untuk berlaku adil kepada semua.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal menegaskan pendiriannya bahawa beliau kekal memegang prinsip “Melayu dahulu sebelum Malaysia”.

“Ini kerana itu bangsa saya yang tidak boleh diubah – dulu, kini dan Insya-ALLAH selamanya,” katanya.