Keputusan Pemilihan Cabang PKR 2025 disahkan, dimuktamadkan MPP - Fuziah

KUALA LUMPUR - Keputusan Pemilihan PKR 2025 bagi semua 220 Cabang di seluruh negara yang selesai baru-baru ini telah disahkan dan dimuktamadkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), menurut Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh.

Beliau berkata, MPP yang bermesyuarat semalam berpuas hati dengan pembentangan Jawatankuasa Pemilihan Parti dan juruaudit digital antarabangsa mengenai keputusan peringkat Ahli Jawatankuasa, Wanita, dan Angkatan Muda Keadilan di kesemua Cabang.

"Keputusan muktamad untuk Pemilihan 2025 bagi peringkat cabang akan dipamerkan bermula pada 5 Mei 2025 menerusi https://keputusan.keadilanrakyat.org/," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mesyuarat semalam turut mengesahkan tarikh penting dalam garis masa persiapan menghadapi Kongres Tahunan PKR 2024 dan 2025 yang akan berlangsung dari 23 hingga 25 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bharu.

"Kongres Tahunan kali ini akan menerima kehadiran lebih kurang 10,000 perwakilan yang akan mengundi secara fizikal untuk memilih MPP manakala lebih 20,000 perwakilan pula akan mengundi secara dalam talian," katanya.

Fuziah berkata, sistem perwakilan berpaksikan konsep representasi berkadar mengikut sokongan dijangka menarik perhatian kerana calon Ketua Cabang yang kalah turut akan layak menghantar perwakilan ke kongres mengikut kadar peratusan undi diterima pada pemilihan sebelum ini.

"Prinsip yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua, akan menyemarakkan lagi proses demokrasi pada Pemilihan 2025 sewaktu Kongres kali ini," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat turut dimaklumkan bahawa satu Jelajah Pra Kongres ke seluruh negara akan digerakkan untuk memastikan para perwakilan menerima maklumat tepat dan komprehensif dalam membuat persiapan rapi untuk ke kongres.

"Ibu Pejabat juga akan menyediakan platform khas sewaktu Jelajah Pra Kongres itu untuk semua calon MPP bertemu para perwakilan dan memperkenalkan diri masing-masing sebagai calon," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, berdasarkan laporan hasil semakan semula juruaudit antarabangsa, antara lain mendapati sistem e-pengundian menggunakan sistem blockchain menunjukkan prestasi baik dan keselamatan kukuh.

"Secara keseluruhan, sistem ini berjaya mengurus pengesahan identiti pengundi, penghantaran undi yang disulitkan (encrypted), dan penyimpanan data yang selamat.

"Data yang disimpan dalam blockchain sepadan dengan log penghantaran, menunjukkan tiada sebarang bukti kehilangan atau manipulasi data manakala imbasan kerentanan keselamatan tidak mendedahkan sebarang risiko kritikal, selain mekanisme kawalan akses didapati berkesan dan teratur," katanya dalam kenyataan berasingan.

Beliau berkata, audit sama juga tidak mengesan sebarang bukti berkaitan penyelewengan atau ketidakteraturan bagi keseluruhan proses pengundian.

Dalam perkembangan lain, Zaliha berkata, senarai perwakilan biasa dan tambahan bagi seluruh cabang semua peringkat akan segera dimuktamadkan dan boleh disemak kemudian melalui https://perwakilan.keadilanrakyat.org.

"JPP ingin mengingatkan tarikh pencalonan peringkat Pusat adalah pada 8 dan 9 Mei secara dalam talian dan tarikh pengundian peringkat Pusat pula akan berlangsung pada Kongres Nasional, 24 Mei ini.

"Pengundian secara fizikal adalah bagi perwakilan peringkat Jawatankuasa Cabang manakala pengundian secara dalam talian untuk perwakilan biasa dan perwakilan tambahan," katanya. - Bernama