Rakyat Malaysia atau Melayu dahulu?: Zaid cabar Kit Siang tanya Anwar pula

SHAH ALAM – "Adakah (Penasihat DAP) Tan Sri Lim Kit Siang berani bertanya soalan yang sama kepada (Perdana Menteri, Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagaimana beliau tanya kepada Muhyiddin?"

Itu persoalan sinis yang dilontarkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mengulas tindakan veteran DAP itu yang kembali membangkitkan isu lama terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Zaid mendakwa, Kit Siang dilihat masih tidak menerima perubahan pendirian Muhyiddin yang baru-baru ini mengakui beliau bukan lagi berpegang kepada prinsip 'Melayu dahulu' sebagaimana kenyataan beliau pada 2010.

“Kit Siang sedang cuba menguji Muhyiddin. Pada 2010, dia tanya: ‘Awak Melayu dahulu atau rakyat Malaysia dahulu?’ dan Muhyiddin jawab dia Melayu dahulu.

“Kini Muhyiddin kata lupakan kenyataan 2010 itu. Tapi Kit Siang enggan terima perubahan fikiran itu. Soalnya, adakah beliau akan tanya Anwar soalan yang sama sekarang?

“Kalau berani tanya juga Anwar, adakah beliau rakyat Malaysia dahulu atau Melayu dahulu? Atau boleh tambah lagi satu soalan, Petronas dahulu atau Sarawak dahulu?” sindir Zaid dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, jika Perdana Menteri mampu menjawab kedua-dua soalan itu secara terbuka dan jujur, maka Kit Siang bebas untuk terus mendesak Muhyiddin.

Namun katanya, besar kemungkinan soalan itu akan dielakkan oleh Anwar dan Kit Siang akan menerimanya tanpa bantahan.

“Sekarang anda tahu kenapa ada pemimpin Cina pernah menggelar DAP sebagai parti ekstrem,” kata Zaid lagi.

Kit Siang dalam satu kenyataan pada Ahad mempersoalkan sama ada Muhyiddin benar-benar sudah berubah daripada pendekatan perkauman kepada semangat kebangsaan apabila berkata 'Saya orang Melayu yang ambil berat semua rakyat Malaysia'.

Kenyataan Muhyiddin itu dibuat ketika beliau menyatakan pendiriannya kini bukan lagi melihat dirinya sebagai 'Melayu dahulu' sebaliknya sebagai pemimpin untuk semua kaum.

“Saya orang Melayu Malaysia. Tapi saya tidak pernah anggap diri saya hanya sebagai orang Melayu. Saya perlu pertimbangkan orang Cina, India dan lain-lain kerana saya pemimpin Malaysia," kata Muhyiddin.

Kit Siang turut mengemukakan dua soalan kepada Muhyiddin iaitu bilakah beliau berubah pendirian dan adakah beliau bersedia memimpin kempen untuk menyeru rakyat Malaysia supaya mengutamakan identiti kebangsaan mengatasi perkauman.

Namun bagi Zaid, Kit Siang sepatutnya berlaku adil dan berani mengemukakan soalan yang sama kepada pemimpin nombor satu negara, bukan hanya menumpukan kepada tokoh pembangkang.

Untuk rekod, kenyataan 'Saya Melayu dahulu' yang dikeluarkan Muhyiddin semasa menjawat Timbalan Perdana Menteri pada 2010 pernah mencetuskan kontroversi besar ketika itu, khususnya dalam konteks agenda 1Malaysia yang dibawa oleh kerajaan.

Namun, kenyataan baharu beliau menandakan perubahan haluan politik yang ketara, meskipun bagi sesetengah pihak seperti Kit Siang, perubahan kata-kata mesti disusuli dengan tindakan konkrit untuk membuktikan keikhlasan.