SHAH ALAM – Tindakan Dewan Pemuda Pas untuk menganjurkan perhimpunan membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dilihat tidak berasaskan fakta, sebaliknya sekadar cubaan terdesak untuk mengalihkan perhatian daripada krisis dalaman Perikatan Nasional (PN) susulan kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ketua Angkatan Muda Harapan (AMH), Woo Kah Leong berkata, Pas seolah-olah cuba mengalihkan perhatian dengan tindakan tersebut selepas rakyat berbilang kaum semakin menolak politik ekstrem dan perpecahan yang dibawa parti berkenaan.
Menurut bekas Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) itu, ketika Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjemput semua pihak, termasuk pembangkang untuk menyertai lawatan ke kawasan flat usang dan daif sekitar Lembah Klang, majoriti wakil rakyat Pas memilih untuk tidak hadir.
“Mereka sepatutnya melihat sendiri realiti kehidupan rakyat marhaen sebelum membuat dakwaan liar terhadap dasar kerajaan.
“Sekiranya Akta PSB ini benar-benar memudaratkan rakyat seperti yang didakwa, mengapa Pemuda Pas tidak menggerakkan himpunan membantah sejak awal lagi ketika draf akta itu dipaparkan berbulan-bulan lalu? Mengapa memilih 14 Jun untuk berhimpun setelah mengalami kekalahan PRK yang memalukan?
“Tindakan Pas menolak Akta PSB sebenarnya menafikan hak rakyat miskin yang terperangkap dalam rumah flat usang untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik, selamat, dan bermaruah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa himpunan aman bagi membantah Akta PSB akan diadakan sekitar Lembah Klang pada 14 Jun depan, namun lokasi spesifik akan dimaklumkan kemudian.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden memaklumkan bahawa pembangunan yang sebenar tidak seharusnya dijadikan alat peminggiran atau penindasan terhadap rakyat, terutama golongan lemah dan terdedah kepada risiko kehilangan tempat tinggal serta komuniti asal.
Mengulas lanjut, Kah Leong berpandangan, Pemuda Pas membuat bantahan tanpa menawarkan sebarang alternatif mahupun pelan konkrit untuk menyelesaikan permasalahan rakyat miskin bandar.
Tambahnya, Pemuda Pas turut mengelirukan rakyat dengan mendakwa bahawa penurunan ambang persetujuan dari 100 peratus kepada 70 peratus akan memudaratkan penduduk asal.
“Dalam realiti pelaksanaan di mana-mana negara, mustahil untuk mendapatkan 100 peratus persetujuan. Jika terus berpegang kepada ambang 100 peratus, rakyat akan terus terperangkap dalam bangunan uzur dan berisiko.
“Bukan semua kerosakan dapat dibaiki, sama seperti kereta usang yang tidak boleh ditukar tayar sahaja jika enjinnya sudah tidak berfungsi. Banyak flat berusia 50 hingga 60 tahun tidak lagi sesuai untuk dibaiki dan memerlukan pembinaan semula.
“Pas kononnya berbicara soal keadilan tempat tinggal, tetapi negeri di bawah pentadbiran PN-Pas, infrastruktur asas seperti bekalan air pun gagal disediakan. Apakah kredibiliti Pas untuk berbicara tentang keadilan perumahan?” soal Kah Leong lagi.