Cadangan bubar MCA sertai DAP bukan pendirian parti - Anthony Loke

SEREMBAN - Cadangan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin supaya MCA dibubarkan dan menyertai DAP bukanlah pendirian rasmi parti.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, itu hanyalah pandangan peribadi ahli Parlimen terbabit dan perkara itu tidak pernah dibincangkan.

Beliau juga tidak merasakan ada kemungkinan perkara itu berlaku.

"Itu pendirian peribadi beliau. Itu bukan pendirian parti dan tak pernah dibincangkan.

"Dia boleh bagi pandangan tapi bagi saya yang pertamanya, ini bukan pendirian parti dan yang kedua saya tak nampak ada kemungkinan seperti itu," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Minum Petang Menteri Pengangkutan Bersama Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) Parlimen Seremban di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Chong Zhemin yang dilaporkan menyarankan MCA dibubarkan dan sertai DAP sekiranya masih berhasrat memperjuangkan nilai majmuk, keadilan dan kemajuan sejati di negara ini.

Ini kerana katanya, MCA sudah tidak lagi mewakili masyarakat Cina.

**media[3111163]**

Menurutnya, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan UMNO dibubarkan dan diserap ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebenarnya lebih sesuai ditujukan kepada MCA.

“MCA hari ini hanya tinggal dua kerusi Parlimen, itupun di kawasan majoriti Melayu. Mereka menang pun kerana undi penyokong UMNO. Hakikatnya, MCA sudah tidak lagi mewakili masyarakat Cina.

“Saya menyeru MCA supaya menyerahkan kembali dua kerusi tersebut kepada UMNO dan mengambil langkah berani untuk membubarkan parti serta menyertai DAP demi masa depan negara,” katanya.

Terdahulu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban menyampaikan sijil penghargaan dan insentif wang tunai berjumlah antara RM1, 000 ke RM2,000 kepada 219 orang pelajar lepasan SPM dari parlimen itu yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A.

Jelas beliau, ia sebagai galakan dan motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran.