'Mustahil bubar MCA sertai DAP' - Choo Seong

IPOH - MCA menegaskan bahawa parti itu tidak akan sesekali menyertai DAP kerana kedua-duanya mempunyai pendekatan dan prinsip perjuangan yang amat berbeza.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, cadangan sedemikian disifatkan sebagai tidak munasabah, apatah lagi ia datang daripada pemimpin parti yang bukan dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, MCA ialah sebuah parti moderat yang meraikan kepelbagaian serta menolak sebarang bentuk ekstremisme dan sentimen perkauman.

“Kami tidak akan sesekali menyertai DAP. MCA bukan ekstrem ataupun komunis. MCA telah berjuang bersama UMNO menuntut kemerdekaan negara dan semangat BN yang patriotik terhadap Malaysia masih kami dokong hingga kini.

“Kami juga tidak sanggup menyifatkan penyatuan ummah menerusi kerjasama UMNO-Pas sebagai isyarat perang terhadap bukan Islam atau bukan Melayu, mahupun menyamakannya dengan ‘negara Taliban’ seperti yang pernah dilakukan oleh pemimpin DAP,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kampar dari DAP, Chong Zhemin, yang menggesa MCA dibubarkan dan menyertai DAP atas alasan MCA didakwa tidak lagi mewakili masyarakat Cina.

Dalam pada itu, Choo Seong turut menyifatkan Zhemin tidak layak mencampuri urusan BN memandangkan DAP bukan sebahagian daripada komponen gabungan itu.

“Jika benar DAP mewakili kaum Cina, saya cabar Zhemin untuk memaklumkan kepada masyarakat sama ada kerajaan sudah menunaikan janji untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan memberikan pajakan tanah 999 tahun, selepas lebih dua tahun memegang tampuk kuasa.

“Sebelum Zhemin sibuk mengkritik MCA, lebih elok beliau menjawab dahulu dakwaan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, yang disiarkan media hari ini bertajuk ‘Desak gugur perjuangan Islam punca PAS tinggalkan DAP’,” katanya.

Choo Seong turut membidas DAP yang didakwanya tidak teragak-agak memainkan sentimen perkauman demi meraih sokongan politik.

Beliau menegaskan bahawa MCA tidak akan terlibat dalam penyebaran propaganda atau usaha menaikkan imej ideologi bertentangan dengan asas pembentukan negara seperti komunisme.