'Ada empat hari lagi hendak serah borang' - Saifuddin Nasution

RANTAU PANJANG - Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta semua pihak kekal tenang berhubung keputusan beliau sama ada mahu bertanding atau tidak pada pemilihan PKR Mei ini.

"Ada empat hari lagi hendak serah borang dan saya akan buat pengumuman dalam masa terdekat.

"Sebelum ini perbincangan selama empat jam telah dibuat bersama Rafizi Ramli berkaitan pemilihan PKR. Saya sudah melengkapkan pertemuan serta perbincangan dengan kepimpinan negeri dan Ketua Cabang.

"Sebagai orang lama, saya lebih banyak merasa kalah daripada menang dan pengalaman itu banyak mengajar," kata yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri semasa sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kontinjen Kelantan sempena Mesyuarat Pasca Kabinet (MPK) KDN di sini pada Ahad.

Hadir sama ialah, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.

Menurut beliau, pada masa sama beliau sudah melakukan dua hingga tiga sesi pertemuan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saifuddin Nasution memberitahu, tarikh akhir penyerahan borang itu sepatutnya dibuat pada Ahad namun ia dilanjutkan kepada 8 Mei ini.

Tambah beliau, lanjutan tempoh masa yang ada berbaki empat hari akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menunaikan solat sunat istiqarah sebelum mengambil sebarang keputusan.

"Sebelum satu-satu keputusan besar dibuat saya tidak memikirkan soal kalah menang atau kedudukan dalam parti namun lebih kepada pengukuhan PKR.

"Parti yang mantap dalam tempoh dua tahun akan datang mampu menjadi penyumbang kepada kemenangan PKR. Ketika ini kerusi PKR ada 31, jadi parti yang kuat selepas proses pemilihan bermaksud mampu untuk menyumbang kepada jumlah besar berbanding sekarang.

"Seterusnya ia boleh membantu mengukuhkan Pakatan Harapan (PH), Kerajaan Perpaduan seterusnya memposisikan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri dan itu keutamaan saya," ujarnya.