Pencalonan Pemilihan Pusat PKR ditangguh ke 8-9 Mei - Dr Zaliha

KUALA LUMPUR - Pencalonan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Wanita Pusat yang dijadual esok hingga Ahad, ditangguhkan ke 8 hingga 9 Mei ini.

Menurut notis pemakluman penangguhan pemilihan yang ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pencalonan akan bermula pada jam 12 tengah hari 8 Mei hingga 11.59 malam 9 Mei.

Bagaimanapun notis berkenaan yang dimuat naik di laman Facebook Pemilihan Keadilan 2025 hari ini tidak menyatakan sebab penangguhan itu dilakukan.

Notis sama turut memaklumkan mana-mana pihak yang berhasrat untuk bertanding bagi pemilihan di peringkat pusat itu boleh berbuat demikian dengan mengisi borang pencalonan secara dalam talian.

Media sebelum ini melaporkan pemilihan MPP, AMK Pusat dan Wanita Pusat ditetapkan pada 24 Mei ini. - Bernama