PH Sabah, gabungan lain teruskan berbincang - Ewon

KOTA KINABALU - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Ewon Benedick memaklumkan rundingan dalaman antara parti dalam gabungan itu dan perbincangan tidak rasmi dengan gabungan lain terus berlangsung dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut berkata, parti itu mesti bersiap sedia untuk menjadi pemain pasukan rakyat Sabah.

"Keputusan kita mesti berlandaskan kepada tujuan dan matlamat penubuhan parti, berpandukan kepada akal budi dan rasional yang strategik dengan memberi fokus kepada masa depan Sabah dan rakyatnya.

"Kita sudah 62 tahun menganggotai Persekutuan Malaysia, tempoh ini cukup lama untuk menginsafi kemajuan infrastruktur, kemajuan ekonomi, kemajuan tadbir urus, kemajuan kerjasama serta kemajuan kualiti sikap kita di Sabah.

"Di Sabah, PRN ini bukan persaingan tentang siapa yang boleh berteriak dengan lebih baik atau lebih kuat. PRN ini bukan persaingan emosi yang sensasi dan ia bukan persaingan kelemahan siapa yang paling banyak," katanya dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun UPKO ke-31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada malam Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, PRN itu harus menjadi pengukur kepada perpaduan pimpinan dan rakyat Sabah serta perpaduan pimpinan parti-parti politik yang ada di Sabah.

"Dalam pertembungan hubungan perdagangan antarabangsa dan geopolitik, rakyat Sabah mesti bijak menilai kepentingan perpaduan.

"Sebab itu UPKO, sepertimana dalam matlamat penubuhan parti kita, harus bekerjasama dengan parti-parti yang berkongsi wawasan dan aspirasi yang sama, tidak hanya dengan parti-parti Sabah tetapi juga dengan parti-parti nasional.

"Dalam rundingan-rundingan yang akan akan berlangsung kelak, UPKO akan menyatakan pandangan dan pendirian serta menjadi advokasi kepada perpaduan," katanya.

Beliau turut meminta semua pihak agar perbaiki dan bina negara ini bersama-sama selepas Sabah memutuskan untuk menganggotai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

"Perwakilan pimpinan Sabah mesti terus menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan sepertimana aspirasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.

Sementara itu, Ewon turut memaklumkan UPKO sebagai komponen PH Sabah akan turut mengambil bahagian dalam PRN dengan matlamat untuk menang kerusi tambahan selain mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) damaian yang diwakilinya ketika ini.

Sebelum ini, Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar mengumumkan parti itu bergabung dengan PH Sabah bagi menghadapi PRN Sabah.

Sementara itu, Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir mendakwa agihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) Sabah dan PH telah dimuktamadkan.