SHAH ALAM – Pemuda MCA menyatakan kesediaan untuk duduk semeja dan berbincang secara terbuka serta jujur bersama rakan-rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN) demi mencari jalan terbaik untuk kebaikan bersama, atas semangat setiakawan yang sekian lama terjalin.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, kesediaan itu dibuat susulan kenyataan Setiausaha Pemuda BN, Hafiz Ariffin yang menekankan pentingnya menghargai sejarah dan nilai kerjasama antara UMNO dan MCA di bawah payung BN sejak lebih tujuh dekad lalu.
Beliau mengakui bahawa hubungan erat antara parti pengasas Perikatan seperti UMNO, MCA dan MIC merupakan asas kepada kemerdekaan dan pembangunan negara yang majmuk.
“Dalam sejarah kita, pemuda-pemudi dari semua kaum telah berada di barisan hadapan perjuangan, menggalas harapan rakyat dan membina kepercayaan antara komuniti.
“Kami bersetuju bahawa dalam zaman politik yang kompleks ini, semangat setiakawan dan saling menghormati amat penting untuk dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Hafiz mengajak MCA untuk kembali ke meja rundingan dan berbincang sebagai satu keluarga demi memperkukuh kerjasama politik yang telah lama wujud.
Beliau juga menekankan bahawa perbezaan pandangan adalah lumrah dalam politik, namun ia tidak wajar menjadi punca kepada hilangnya arah tuju dan semangat kebersamaan.
Ketegangan antara pemimpin UMNO dan MCA timbul selepas beberapa kenyataan terbuka susulan penyertaan gabungan itu dalam Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Yee Fung turut menyifatkan bahawa perbezaan pandangan dalam mana-mana gabungan politik perlu ditangani dengan hikmah serta semangat kekeluargaan dan musyawarah yang ikhlas.
“Sebagai sayap pemuda parti MCA dan BN, menjadi tanggungjawab kita untuk meniup semangat baharu kepada BN, membina semula kekuatan parti dan mengembalikannya ke zaman kegemilangan.
“Pemuda MCA harus bersatu dan terus berjuang dengan matlamat yang sama demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.
Tambahnya, Pemuda MCA menghargai seruan rakan dari Pemuda UMNO dan percaya selagi ada keikhlasan serta kesetiaan kepada asas perjuangan, BN akan terus dihormati serta dipercayai rakyat.
“Marilah kita, generasi muda parti-parti komponen BN, mewarisi bukan sahaja sejarah perjuangan tetapi juga semangat kebersamaan yang menjadi kekuatan kita selama ini,” katanya.