JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO memberi petanda jelas bahawa parti berkenaan sudah hilang kepercayaan kepada Pas.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, kenyataan Hamzah sememangnya sudah diduga susulan prestasi tidak konsisten kedua-dua parti berkenaan dalam hubungan politik.
“Kami telah menduga perkara ini kerana Pas sebelum ini beberapa kali dilihat ‘menikam belakang’ rakan politiknya.
“Daripada mesra PKR, DAP, UMNO, kini bersama Bersatu, tetapi pola pengkhianatan yang sama tetap berulang.
“Justeru, Amanah Johor melihat kenyataan itu dikeluarkan berikutan krisis ketidakpercayaan antara rakan strategik dalam membawa agenda Bersatu dalam gabungan PN (Perikatan Nasional),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Untuk rekod, Hamzah dalam satu podcast baru-baru ini menyatakan bahawa Bersatu dan UMNO mempunyai asas ideologi yang sama dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
Oleh itu, ia merupakan justifikasi utama parti itu untuk membuka ruang rundingan politik baharu bersama UMNO.
Tambah Aminolhuda, Pas di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang hanya mengambil kesempatan atas pengaruh pihak lain demi kepentingan kuasa dan agenda peribadi.
“Matlamat perjuangan rakyat yang sering dilaung-laungkan oleh Pas sudah tidak kelihatan lagi.
“Kerana itulah, Pas kini dilihat hanyalah sebagai parti yang terlalu dahagakan kuasa,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub turut menyifatkan kenyataan Hamzah sebagai bukti keresahan Bersatu terhadap masa depan mereka dalam PN.
Malah katanya, Bersatu sedar bahawa Pas telah beberapa kali cuba merapatkan diri dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan peluang untuk kembali ke dalam kerajaan.
“Mereka (Pas) sudah beberapa kali menghantar wakil berjumpa Anwar. Bersatu tahu hal ini dan rasa mereka bakal ditipu.
“Maka, sebagai jalan keluar, mereka tawarkan kerjasama dengan UMNO atas alasan kononnya perjuangan mereka sama,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, kenyataan Hamzah timbul selepas Bersatu melihat kerjasama dengan Pas sudah tidak baik buat mereka.
"Kemampuan BN (Barisan Nasional) meraih kemenangan dalam beberapa siri PRK (Pilihan Raya Kecil) memperlihatkan rakyat kembali yakin kepada BN.
"Ia bukan sahaja kepada BN, malah keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan juga semakin baik. Saya fikir BN antara teras utama yang menyumbang kepada keutuhan Kerajaan Perpaduan," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Program Veteran Desa MADANI di Masjid Jamek Tengku Muhammad Fa-iz Petra di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, berpandukan kepada situasi itu penyokong Bersatu disaran berpatah balik dengan menyokong Kerajaan Perpaduan.
Ujarnya, pada masa sama Amanah bersama Pakatan Harapan (PH) akan terus mempertahankan kerjasama dengan BN menerusi Kerajaan Perpaduan.