PONTIAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disarankan berbincang secara rasmi sekiranya ingin menjalin kerjasama dengan UMNO.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Bersatu perlu melalui saluran yang jelas, iaitu berbincang secara rasmi termasuk melalui surat.
“Kalau benar ingin bekerjasama, jangan asyik bangkitkan perkara ini kerana jika tiada permohonan, bagaimana ia hendak dibincangkan dalam UMNO?
"Setakat ini, tidak ada perbincangan di peringkat MKT mengenai apa yang dicadangkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
"Jika Bersatu mahu bekerjasama dengan UMNO, mahupun berkeinginan menyertai UMNO semula, kemukakan surat supaya dapat dilakukan perbincangan rasmi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program Jelajah Revolusi Pembinaan CR4.0 dan myDigital Kontraktor (MDK) di Benut, di sini pada Sabtu.
Pada Khamis, Hamzah dilaporkan berkata, Bersatu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO kerana kedua-dua parti berkongsi asas ideologi yang sama.
Katanya, parti terbabit bersedia untuk menjalin kerjasama bagi mencapai misi yang sama.
Mengulas mengenai saranan Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub yang mencadangkan agar Bersatu kembali bersama dalam UMNO dengan membubarkan parti mereka, Ahmad tidak menolak perkara itu berlaku kerana ia pernah berlaku sebelum ini menerusi Semangat 46 pada tahun 1996.
"Semangat 46 dibubarkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada Mei 1996, sebelum Presiden UMNO ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, menerima semula kesemua ahli parti itu memasuki UMNO semula secara 'en bloc'.
"Itu jadi sejarah yang tidak boleh dipadam, bagaimana sebuah parti yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh masuk balik ke UMNO," katanya.