Pemuda BN ajak MCA berunding sebagai keluarga

SHAH ALAM – Pemuda Barisan Nasional (BN) mengajak rakan komponennya, MCA, untuk kembali ke meja rundingan dan berbincang sebagai satu keluarga demi memperkukuh kerjasama politik yang telah lama terjalin.

Setiausahanya, Hafiz Ariffin menjelaskan bahawa walaupun pandangan berbeza adalah lumrah dalam berpolitik, ia tidak seharusnya menjadi penyebab kepada hilangnya arah tuju dan semangat yang telah dibina bersama sejak dahulu.

Menurut beliau, perpecahan antara parti komponen hanya akan membuka ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan.

“Kerjasama antara UMNO dan MCA bukan perkara baharu, malah ia merupakan pakatan politik paling lama dan bersejarah di negara ini yang bermula sejak tahun 1952 di bawah panji Parti Perikatan.

“Ia bukan sekadar strategi politik, tetapi manifestasi kerjasama antara kaum demi mencapai kemerdekaan dan membina negara Malaysia yang berbilang bangsa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hafiz turut mengingatkan bahawa fakta sejarah tidak boleh dipadam, merujuk kepada kemenangan besar kerjasama UMNO-MCA dalam Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur tahun 1952 sebagai bukti bahawa penyatuan mampu mengatasi cabaran.

Sejak beberapa hari lalu, pemimpin UMNO dan MCA dilihat berbalas kenyataan secara terbuka berhubung rasa tidak puas hati, susulan lebih dua tahun penyertaan gabungan itu dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon sebelum ini menyatakan bahawa parti itu telah memberikan tempoh mencukupi untuk penyusunan semula BN selepas PRU15, namun masih tiada kejelasan dalam hala tuju menyebabkan ahli-ahli MCA berasa kecewa dan ragu-ragu.

Tambah Hafiz, golongan pemuda UMNO dan MCA sebelum ini telah memainkan peranan penting dalam kemenangan besar Perikatan, termasuk dalam Pilihan Raya Umum 1955 apabila MIC turut serta, menyaksikan Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi Parlimen.

“Ia bukan pencapaian kecil, tetapi simbol kekuatan gabungan yang diasaskan atas perpaduan, toleransi dan matlamat kebangsaan yang sama,” jelas beliau.

“Ya, kita kini berada dalam era politik yang kompleks dan mencabar. Namun, janganlah kita membakar jambatan yang telah terbina kukuh lebih tujuh dekad ini. Kita telah membina negara ini bersama, mendepani krisis bersama, dan bangkit semula bersama.

“Pemuda dahulu tidak gentar berdepan cabaran. Hari ini, kita harus mewarisi semangat itu. MCA juga telah banyak menerima manfaat daripada kerjasama ini, bukan sepanjang masa dirugikan.

“Maka, jangan zahirkan perbezaan secara terbuka yang boleh melemahkan semangat perpaduan dalam gabungan ini. Sabar dan hargailah hubungan serta persahabatan,” katanya.