SHAH ALAM - Pas menegaskan dakwaan bahawa dua pemimpin parti itu cuba mempengaruhi Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (GE2025) adalah tidak tepat, berlebihan dan bersifat sepihak.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai tindakan kerajaan Singapura yang menyekat akses ke laman media sosial beberapa individu, termasuk Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, ekoran dakwaan mereka cuba mempengaruhi keputusan PRU Singapura yang dijadualkan pada 3 Mei depan.
Takiyuddin berkata, Pas menghormati hak kerajaan Singapura untuk mengambil tindakan dalam melindungi kepentingan negara mereka, namun menegaskan bahawa hantaran yang dimuat naik oleh kedua-dua pemimpin itu adalah pandangan peribadi mereka dan tidak mewakili dasar atau pandangan Pas sebagai parti politik.
"Pas percaya mereka berdua hanya menyuarakan pandangan peribadi masing-masing dan tidak bertujuan untuk campur tangan, apatah lagi cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya Singapura," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, dasar Pas berhubung hubungan rasmi antara kedua-dua negara sebagai saluran sah untuk menyampaikan pandangan atau membincangkan isu-isu kepentingan bersama, termasuk dengan kerajaan Singapura, sudah cukup membuktikan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas.
Dalam dunia yang semakin berkembang tanpa sempadan, Takiyuddin berkata, perkembangan yang berlaku di negara lain pasti akan mendapat perhatian atau reaksi daripada individu di negara lain, terutama perkara yang dianggap penting oleh mereka.
"Namun, respons tersebut tidak boleh dianggap sebagai cubaan campur tangan melainkan ia disertai dengan langkah susulan yang jelas," jelasnya.
Tambah Takiyuddin, Pas menghormati perhatian dan kebimbangan yang diberikan oleh Singapura, tetapi percaya bahawa reaksi terhadap dua pemimpin Pas itu adalah sedikit berlebihan dan sepihak, terutamanya kerana Pas mempunyai hubungan yang baik dan saling menghormati dengan kerajaan republik itu.
Sebelum ini, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) Singapura mengeluarkan kenyataan yang mendakwa dua pemimpin Pas dari Malaysia telah cuba campur tangan dalam Pilihan Raya Umum Singapura.
Menurut kenyataan tersebut, Iskandar dan Mohamed Sukri telah memuat naik hantaran di laman Facebook mereka yang memberi komen berkenaan politik Singapura.
Perbuatan ini dikatakan telah melanggar undang-undang Singapura yang melarang warga asing mempengaruhi keputusan pilihan raya negara tersebut.
Sebagai reaksi, MHA dan ELD telah mengambil tindakan dengan menyekat akses kepada hantaran-hantaran tersebut berdasarkan Seksyen 61N Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA).