PUTRAJAYA - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan mengumumkan kerjasama politik dalam masa terdekat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) Ke-17 akan datang.
Perkara itu disahkan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Isnin.
Beliau berkata, sebagai sebuah parti yang tidak besar, Pejuang perlu mengadakan perbincangan dengan parti lain sebagai rakan gabungan.
"Apa yang menariknya, keahlian Pejuang di Sabah itu boleh tahan dan saya awal-awal tidak fikir yang kita akan dapat banyak sokongan di Sabah tapi yang berlaku sebaliknya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri Pejuang, di sini pada Isnin.
Antara turut hadir, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Dr Radzi Jidin; Naib Presiden MIC, Datuk M Asojan dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.
Mengulas mengenai hala tuju Pejuang, bekas Menteri Kabinet itu mengakui parti berkenaan dilihat kurang relevan dalam kancah politik kerana terdapat banyak persaingan daripada parti Melayu lain.
"Atas sebab itu Pejuang rasakan bahawa apa juga yang kita buat mestilah memberi nilai tambah kepada politik Melayu.
"Tapi kami masih bercita-cita untuk terlibat dalam proses demokrasi dalam negara ini sama ada secara individu atau bergabung dengan parti lain," jelasnya.
Tahun lalu, Mukhriz mendedahkan Pejuang itu berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas perbincangan tidak rasmi dengan beberapa parti politik tersebut diadakan.