PAPAR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, sebaliknya akan terus memberi fokus sebagai Ahli Parlimen Papar.
Beliau berkata, selaku menteri di peringkat Persekutuan dan Ahli Parlimen Papar, menjadikan masanya terhad dan tiada keperluan untuk bertanding di peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Saya baru dua tahun lebih jadi Ahli Parlimen dan biar saya tunaikan apa dimahukan rakyat di Papar. Kita banyak pemimpin hebat di Papar dan apa saya mahu, siapa yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat bekerjasama baik dengan saya untuk membangunkan Papar.
"Selaku menteri saya juga kena jaga negeri-negeri lain. Saya mahu pasukan kuat, ADUN (di kawasan Parlimen Papar) yang sentiasa boleh bekerjasama rapat dengan saya, agar kita mampu buat perubahan dan merealisasikan apa dimahukan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majestic Ballroom di 10 Star Cinemas, Parklane City Benoni Papar di sini hari ini.
Sementara itu, Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, gabungan berkenaan, sudah lama bersedia untuk menghadapi PRN Sabah Ke-17 (PRN17).
"Di Papar, kita sudah banyak melakukan pelbagai program bersama rakyat dan saya lihat ADUN-ADUN yang tinggal di sini selalu bersama rakyat. Oleh itu saya yakin mereka boleh menang dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya.
Untuk rekod, tiga kerusi DUN di kawasan Parlimen Papar ialah Limbahau, Kawang dan Pantai Manis. - Bernama